MALAYSIA

Pulau Pinang perhebat penguatkuasaan bendung aktiviti songsang

Bernama 01/12/2025 | 13:00 MYT
Dr Mohamad berkata kerajaan negeri memandang serius isu itu yang terang-terangan bercanggah dengan ajaran agama. - Gambar fail/Bernama
BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang akan terus memperhebat usaha penguatkuasaan bagi membendung kegiatan tidak bermoral termasuk aktiviti songsang melibatkan umat Islam di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata kerajaan negeri memandang serius isu itu yang terang-terangan bercanggah dengan ajaran agama.

"Perkara sedemikian juga berlaku di Pulau Pinang dan bahagian penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) sentiasa cakna dalam hal untuk membanteras perkara mungkar di negeri ini.

"Operasi secara bersepadu sentiasa dibuat dengan pihak polis, malah ia akan diperhebat lagi bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan lebih tegas," katanya kepada pemberita pada Majlis Serahan Sumbangan Smartboard Wakalaj Zakat Etiqa Takaful di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha dilakukan kerajaan negeri dalam menangani isu berkaitan aktiviti songsang di Pulau Pinang susulan tangkapan di Bandar Perai Jaya, kelmarin.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata JHEAINPP turut melaksanakan program dakwah dan kaunseling sebagai pendekatan pendidikan kepada golongan terlibat dalam usaha memulihkan mereka untuk kembali kepada kehidupan normal selaras dengan tuntutan agama.

Beliau memaklumkan sejumlah peruntukan turut disediakan bagi pelaksanaan program itu yang dikendalikan oleh bahagian dakwah JHEAINPP yang menunjukkan kesan positif apabila terdapat dalam kalangan mereka yang kembali sedar selepas diberi kaunseling dan pendekatan agama.

Polis menahan 13 lelaki termasuk dua warga asing kerana disyaki terlibat dengan aktiviti persundalan luar tabii dalam serbuan di sebuah premis kedai tiga tingkat di Bandar Perai Jaya di sini pada 29 Nov lepas.

Daripada 13 yang ditahan itu, 11 daripadanya pelanggan premis terdiri daripada sembilan lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berumur antara 19 hingga 66 tahun manakala dua lagi tangkapan ialah pekerja dan pemilik premis berumur 57 dan 59.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh kerajaan Pulau Pinang bagi membendung kegiatan tidak bermoral termasuk aktiviti songsang di negeri tersebut?
    A: Kerajaan Pulau Pinang akan terus memperhebat usaha penguatkuasaan dengan operasi secara bersepadu bersama pihak polis untuk membanteras kegiatan tidak bermoral, termasuk aktiviti songsang.
  • Q: Siapakah yang terlibat dalam usaha menangani isu berkaitan aktiviti songsang di Pulau Pinang dan apakah pendekatan yang dilakukan?
    A: Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) terlibat dalam usaha tersebut. Pendekatan yang dilakukan termasuk program dakwah dan kaunseling untuk memulihkan golongan terlibat.
  • Q: Berapakah jumlah individu yang ditahan oleh polis di Bandar Perai Jaya dan siapakah mereka?
    A: Polis menahan 13 lelaki di Bandar Perai Jaya, termasuk sembilan lelaki tempatan, dua lelaki warga asing, seorang pekerja, dan pemilik premis. Mereka terdiri daripada pelanggan premis yang disyaki terlibat dengan aktiviti persundalan luar tabii.



#warga asing #aktiviti songsang #JHEAINPP #perkara mungkar