MALAYSIA

Pulau Pinang rekod penurunan ketara jenayah indeks

Bernama 17/10/2025 | 04:00 MYT
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, kes jenayah kekerasan menurun 18.3 peratus daripada 732 kepada 591 kes, manakala jenayah harta benda merekodkan 1,809 kes berbanding 2,500 kes sebelum ini.
GEORGE TOWN: Statistik jenayah indeks di Pulau Pinang menunjukkan penurunan ketara bagi tempoh Januari hingga September iaitu 2,400 kes berbanding 3,847 kes pada tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes jenayah kekerasan menurun 18.3 peratus daripada 732 kepada 591 kes, manakala jenayah harta benda merekodkan 1,809 kes berbanding 2,500 kes sebelum ini.

"Kejayaan ini bukan hasil kerja individu tetapi kerjasama, dedikasi dan komitmen seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang daripada barisan kepimpinan tertinggi sehingga anggota di lapangan yang bekerja siang dan malam demi memastikan keamanan negeri terpelihara.

"Secara keseluruhannya, tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Pulau Pinang berada pada tahap selamat dan terkawal," katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pulau Pinang dan Majlis Peluncuran 2nd Bridge PDRM Solidarity Fun Ride 2026, di sini, hari ini.

Azizee berkata, pihaknya menerima 13,777 laporan berkaitan kes komersial bagi enam bulan tahun ini, meningkat sebanyak 3,434 kes berbanding tempoh sama tahun lepas, dengan jumlah kerugian RM174.6 juta.

Beliau berkata, peningkatan kes jenayah komersial menunjukkan langkah pencegahan dan kesedaran serta tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan, selain kewujudan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) harus lebih diuar-uarkan kepada masyarakat.

"Melalui kesedaran ini, orang ramai akan lebih peka terhadap modus operandi scammer dan berani membuat laporan, sekali gus membantu polis mengekang jenayah siber daripada terus berleluasa.

"Kejayaan membanteras jenayah dalam talian bukan hanya bergantung kecekapan pasukan polis, tetapi juga kesedaran dan keprihatinan masyarakat," katanya.

Sehubungan itu, Azizee meminta orang ramai untuk menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan demi memastikan kesejahteraan rakyat dan keselamatan digital terus terpelihara.

-- BERNAMA




#pulau pinang #jenayah indeks #jenayah kekerasan #jenayah harta benda