MALAYSIA

Pulau Pinang tersenarai 10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025

Bernama 25/09/2025 | 10:50 MYT
Pulau Pinang disenaraikan sebagai satu daripada "10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025". - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pulau Pinang disenaraikan sebagai satu daripada "10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025" oleh majalah pelancongan antarabangsa, Smart Travel Asia, sekali gus mencerminkan daya tarikannya semakin meningkat sebagai lokasi wajib dikunjungi pelancong luar negara.


Ringkasan AI
  • Pulau Pinang disenaraikan sebagai satu daripada "10 Destinasi Pelancongan Terbaik Asia 2025" oleh majalah antarabangsa Smart Travel Asia, menduduki tempat ketujuh bersama Kuala Lumpur (kelapan) dan Sabah (kesepuluh), menunjukkan peningkatan daya tarikannya kepada pelancong luar negara.
  • Destinasi teratas dalam senarai tersebut ialah Bangkok, diikuti Tokyo dan Bali yang berkongsi tempat kedua, manakala Chiang Mai, Seoul, Luang Prabang, Hong Kong, Phuket dan Rajasthan turut tersenarai sebagai destinasi pilihan.
  • Pengiktirafan ini mencerminkan Pulau Pinang bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga lokasi popular untuk majlis perkahwinan dan percutian keluarga, sekali gus memberi impak positif kepada industri pelancongan negeri.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata Pulau Pinang menduduki tempat ketujuh dalam senarai berkenaan, bersama-sama bandar utama Malaysia lain seperti Kuala Lumpur di tangga kelapan dan Sabah di kedudukan ke-10.

"Tahniah Pulau Pinang. Berdasarkan senarai itu, Bangkok, Thailand di tangga teratas sebagai destinasi utama, diikuti Tokyo, Jepun dan Bali, Indonesia yang berkongsi tempat kedua," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Destinasi lain yang turut tersenarai ialah Chiang Mai, Thailand di tempat ketiga; Seoul, Korea Selatan dan Luang Prabang, Laos yang berkongsi tempat keempat; serta Hong Kong, Phuket (Thailand) dan Rajasthan (India) yang bersama-sama menduduki tempat kelima.

Pengiktirafan berkenaan, katanya menunjukkan Pulau Pinang semakin dikenali bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga tempat utama untuk majlis perkahwinan dan percutian keluarga, sekali gus memberi impak besar kepada industri pelancongan negeri itu.

-- BERNAMA



#pulau pinang #Smart Travel Asia #Destinasi Pelancongan Terbaik Asia #Wong Hon Wai