GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan menubuhkan sebuah pasukan khas iaitu Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri khusus bagi menggerakkan sumber perlu untuk menghadapi tempoh endemik.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pasukan itu akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh dalam menggerakkan sumber-sumber perlu, terutamanya dalam menghadapi peningkatan kes harian ketika ini.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang: Pengurusan COVID-19 hari ini memutuskan pelantikan Phee bagi mengetuai pasukan itu dalam menggerakkan sumber yang diperlukan ketika menghadapi tempoh endemik.

"Pelantikan itu juga antaranya adalah susulan daripada komitmen kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk menambah baik pengurusan tempoh tindak balas atau 'response time' dari pusat panggilan, antara 24 hingga 48 jam bagi memantau pesakit COVID-19 atau kontak rapat kepada seseorang yang disahkan positif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya selain itu peranan-peranan yang bakal dimainkan oleh pasukan berkenaan adalah bekerjasama rapat dengan JKNPP bagi menambah baik pengoperasian Pusat Panggilan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau CAC Call Centre.

Chow berkata Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri itu akan membantu melakukan penambahbaikan berhubung perkhidmatan panggilan berserta penyediaan keperluan logistik pesakit ke pusat-pusat rawatan, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) serta lain-lain yang berkaitan.

Katanya pasukan itu juga akan memobilisasikan sumber tenaga perlu termasuk sukarelawan di bawah platform Gabungan PgCare atau 'PgCare Alliance' untuk pengurusan dan keperluan mereka dikenal pasti.

"Pasukan itu juga akan mengenal pasti serta menambah baik keperluan pusat-pusat rawatan atau perubatan bagi memastikan sistem perubatan negeri tidak lumpuh sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA