Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Pulau Redang, Pulau Perhentian dilanda banjir akibat hujan lebat dan air pasang

Bernama 23/11/2025 | 07:05 MYT
Hujan lebat dan air pasang besar mengakibatkan Pulau Redang dan Pulau Perhentian dilanda banjir. - Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Hujan lebat berterusan disertai fenomena air pasang besar mengakibatkan Pulau Redang dan Pulau Perhentian dilanda banjir.


Ringkasan AI
  • Banjir berpunca daripada hujan lebat dan air pasang besar mengakibatkan Pulau Redang dan Pulau Perhentian dilanda banjir.
  • Sebanyak 369 mangsa daripada 81 keluarga di Kampung Baru, Pulau Redang, tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kampung Pulau Redang akibat banjir.
  • Penduduk Pulau Redang dan Pulau Perhentian mendapati bekalan makanan dan kemudahan asas mencukupi hasil bantuan pihak berkuasa terlibat, walaupun beberapa rumah dinaiki air hingga paras lutut.


Situasi berkenaan menyebabkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kampung Pulau Redang mula dibuka semalam dan menurut laman sesawang infobencanajkmv2.jkm.gov.my, setakat 1 tengah hari ini sebanyak 369 mangsa daripada 81 keluarga dari Kampung Baru, Pulau Redang masih berlindung di PPS itu.

Di Pulau Perhentian, satu PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian hari ini dengan menempatkan 44 mangsa daripada 11 keluarga.

Seorang penduduk Pulau Redang, Azmi Awang, 38, yang dihubungi berkata situasi banjir terkawal, malah masyarakat setempat juga tidak panik kerana kejadian itu adalah fenomena biasa berlaku di pulau itu.

"Hujan lebat yang bertembung dengan fenomena air pasang mengakibatkan kawasan di Kampung Pulau Redang dilanda banjir. Air naik sangat cepat menyebabkan rumah ibu saya dinaiki air sejak semalam.

"Mujurlah kami sempat menyelamatkan barangan elektrik dan dokumen penting. Difahamkan air banjir di luar kawasan rumah mencecah paras lutut," katanya sambil menambah laluan ke jeti juga tidak boleh dilalui kerana dinaiki air.

Bagaimanapun, Azmi berkata bekalan makanan dan kemudahan asas lain mencukupi sepanjang tempoh banjir hasil bantuan pihak berkuasa terlibat.

Penduduk kampung di Pulau Perhentian, Mohd Deraman, 68, pula berkata penduduk menyedari air sudah memenuhi kawasan halaman rumah pada awal pagi tadi.

"Hujan tanpa henti sejak malam Sabtu menimbulkan kebimbangan penduduk. Paras air mula meningkat sejak 6 pagi menyebabkan beberapa rumah dan laluan utama di kampung itu dinaiki air hingga hampir satu meter.

"Ramai penduduk tidak sempat buat persiapan awal sebab air naik terlalu cepat," katanya ketika dihubungi Bernama.

-- BERNAMA

#banjir #Pulau Redang #Pulau Perhentian #air pasang #monsun timur laut