MALAYSIA

Pulau Sebatik: Antara pembangunan dan suara rakyat

Seth Akmal 02/08/2025 | 09:27 MYT
Sebahagian penduduk kampung di pulau ini telah mendiami kawasan tersebut sejak era konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1963. - Astro AWANI/Seth Akmal.
TAWAU: Isu pemilikan tanah di Pulau Sebatik menjadi antara perkara utama yang membelenggu penduduk, seperti isu pengambilalihan tanah untuk projek kerajaan serta status geran hak milik.

Sebahagian penduduk kampung di pulau ini telah mendiami kawasan tersebut sejak era konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1963. Ada dalam kalangan mereka telah menerima Geran Tanah Hak Adat atau lebih dikenali sebagai Native Title (NT).

Kini, apabila kerajaan memulakan projek pemulihan infrastruktur seperti pembinaan jalan raya, ada dalam kalangan mereka keliru dengan proses pengambilalihan tanah.

Ketua Kampung Pisak-Pisak, Harom Taboyo berpendapat, masyarakat di kampung menyambut baik tindakan kerajaan memberi kemudahan kepada penduduk.

Namun, mereka khuatir mengenai hasil tanaman di kebun yang terkesan daripada projek membuat jalan raya baharu di pulau itu yang hampir setahun.

“Tanaman kami yang telah dirosakkan ini. Tidak ada lagi imbalannya sehingga sekarang, sudah beberapa bulan?

“Mereka yang ambil tanah-tanah sekarang memiliki status NT, tanaman mereka (kontraktor) sudah sorong (ambil).. sedangkan itu hasil pencarian orang kampung tanaman,” katanya.

Namun, isu yang lebih rumit, apabila ramai yang masih menunggu geran diserahkan walaupun mendakwa mereka telah lama memohon dan menduduki tanah berkenaan secara sah.

Ketua Kampung Bergosong, Sidik Kadir, menyatakan kekecewaannya apabila masih tidak dapat memegang sekeping geran tanah.

“Setahu (kami) ini memang hak milik tapi kami masih belum lagi memegang geran… saya rasa sudah ada, cuma saya tidak tahu bagaimana geran ini tidak boleh keluar.

“Tidak boleh disampaikan kepada pemilik-pemilik di kampung sehingga hari ini.

“Mana-mana kerajaan saya sokong cuma itulah, kami tidak ada daya. Kalau bukan orang kerajaan yang membantu kami seperti YB (Ahli Parlimen/Adun), susahlah orang bergerak,” katanya.

Pulau Sebatik: Antara pembangunan dan hak rakyat

Pulau Sebatik kini mendapat perhatian global apabila isu persempadanan darat dan maritim di perairan Laut Sulawesi di Zon ND6 dan ND7 masih di peringkat penyelesaian antara Malaysia-Indonesia.

Isu pemilikan tanah mencerminkan cabaran lebih besar yang dihadapi komuniti perbatasan antara hak rakyat, keperluan pembangunan dan dasar yang jelas.

Ketika projek infrastruktur terus digerakkan, penduduk berharap suara mereka tidak dipinggirkan, dan setiap langkah pembangunan hadir bersama keadilan serta ketelusan.

Astro AWANI sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung.


#Sebatik #Ambalat #Sabah #isu pemilikan #hak milik tanah