TELUK INTAN: Pulau Sembilan yang terletak di Bagan Datuk di sini masih belum beroperasi atau dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti pelancongan, sejak ditutup pada tahun 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kawasan tumpuan pengunjung yang terkenal dengan pelbagai hidupan liar dan juga plankton itu masih dalam proses rehabilitasi (pemulihan).

"Pulau Sembilan belum lagi beroperasi untuk dibuka semula kepada pelancong-pelancong mendarat.

"Tetapi kami masih membenarkan pelancong untuk melawat pulau itu di perairan sahaja, sebab kami masih menjalankan program rehabilitasi untuk pulau tersebut," katanya.

Nolee Ashilin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Ekspresi Cuti-Cuti Malaysia-Gateway to Perak di sini pada Khamis.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan Pulau Sembilan ditutup kepada sebarang aktiviti pelancongan berkuat kuasa pada 1 April 2017 sehingga tarikh yang akan diberitahu seperti dititahkan Sultan Perak.

Facebook Tourism Perak

Media melaporkan, langkah berkenaan bagi membendung tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak menceroboh dan merosakkan flora dan fauna yang terdapat di pulau berkenaan.

Nolee Ashilin sebelum ini memaklumkan kewujudan 'blue tear' atau 'blue sand' yang secara semula jadi di kawasan itu telah pulih dan bertambah baik.

Pada tahun 2019, beberapa pasukan penyelidik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah melakukan kajian dengan mengambil kira empat aspek, iaitu 'boatie', kuda laut, batu karang dan pelbagai lagi hidupan yang terdapat di pulau tersebut.

Terdahulu, program anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung selama empat hari ini bermula pada Selasa disertai 19 pengamal media.

Mereka dibawa melawat ke beberapa lokasi pelancongan di sekitar Teluk Intan, Bagan Datuk dan Kampung Gajah.