Pulihara kawasan tanah lembap untuk spesies burung migrasi - MNS

Bernama
Mei 10, 2020 20:50 MYT
MNS menyeru kerajaan dan rakyat Malaysia supaya melindungi spesies burung migrasi dengan memelihara habitat semula jadi haiwan itu. - Bernama
Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menyeru kerajaan dan rakyat Malaysia supaya melindungi spesies burung migrasi dengan memelihara habitat semula jadi haiwan itu di tanah lembap di kawasan pesisir pantai negara.
Bersempena dengan Hari Migrasi Burung Sedunia semalam, dengan tema 'Birds Connect Our World', Presiden MNS Ahmad Ismail dalam kenyataan hari ini berkata persatuan itu mahu rakyat Malaysia menghargai alam semula jadi dan meraikan fenomena migrasi burung yang mempesonakan.
"Setiap tahun, burung hijrah terbang ribuan kilometer antara hemisfera utara dan selatan, berhenti di sepanjang lumpur pantai untuk bertenggek, mencari makanan dan berehat sebelum meneruskan perjalanan.
"Malangnya, bagi burung hijrah yang ingin memakan moluska dan invertebrata untuk terus hidup, dua lokasi (pantai Selangor tengah utara dan pantai Teluk Air Tawar-Kuala Muda) berhadapan dengan ancaman daripada pembangunan pantai, akuakultur, pencemaran air dan sisa plastik," katanya.
MNS juga menggesa orang ramai untuk terlibat dalam pemuliharaan burung air bermigrasi dengan menyertai aktiviti dan menjadi sebahagian daripada 'Society's Flyway Campaign' yang berkolaborasi dengan komuniti, agensi kerajaan dan syarikat untuk menjalankan pelbagai aktiviti sains masyarakat seperti bancian burung-burung air Asia dan pengiraan burung pemangsa.
Selain itu, MNS turut menyeru kerajaan supaya mengutamakan pencalonan pantai Selangor tengah utara sebagai lokasi laluan burung hijrah atau 'flyway' dan menggalakkan penyelidikan di tanah lembap Teluk Air Tawar-Kuala Muda, ke arah perlindungan lebih baik untuk spesies burung berkenaan.
Malaysia menjadi satu daripada rakan kerajaan dalam Perkongsian Laluan Burung Hijrah Asia Timur-Australasian sejak 2012 dan setakat ini laluan burung hijrah yang ditetapkan ialah di Teluk Bako-Buntal di Sarawak.
-- BERNAMA
#alam sekitar #burung migrasi #Malaysia #MNS #Persatuan Pencinta Alam Malaysia