KUALA LUMPUR: Memenuhi keperluan mendesak seperti bekalan perubatan, air dan tenaga menjadi keutamaan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dalam usahanya untuk memberikan harapan dan membina semula kehidupan rakyat Palestin.

Jurucakap ICRC Gaza, Suhair Zakkout berkata ICRC bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Gaza untuk membina semula infrastruktur asas termasuk memulihkan bekalan air dan elektrik.

"Kami juga membantu menyediakan panel suria untuk mengepam air dari telaga di Gaza yang dapat membantu kira-kira 15 petani dekat kawasan itu mengairi tanaman mereka," katanya pada taklimat media secara maya, mengenai perkembangan terbaru di Gaza yang turut dihadiri media antarabangsa pada Rabu.

ICRC juga menumpukan kepada keperluan kesihatan penduduk dengan menyediakan perkhidmatan ambulans untuk Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin selain bantuan sumber manusia melalui rakan-rakan ICRC di Gaza.

"Kami juga membantu menyediakan sokongan daripada aspek kesihatan mental memandangkan penduduk Gaza telah melalui detik memilukan selama 11 hari akibat pencerobohan Israel," katanya.

Mengenai maklumat terkini jumlah kematian, kementerian kesihatan di Gaza berkata 253 penduduk Palestin telah terkorban, termasuk 66 kanak-kanak, 39 wanita dan 17 warga emas manakala 1,948 lagi cedera, termasuk 20 dalam keadaan kritikal.

Pada Jumaat, Mesir menjadi orang tengah untuk gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza, sekali gus menamatkan 11 hari pertempuran antara kedua-dua pihak.

Ditanya mengenai keperluan elektrik di Gaza, Suhair berkata penduduk hanya mendapat bekalan elektrik tiga jam sehari kerana bahan bakar tidak mencukupi untuk menjana elektrik di satu-satunya loji kuasa di Gaza.

"Keadaan itu turut memberi kesan buruk terhadap sistem penjagaan kesihatan. Bahan bakar sangat diperlukan loji kuasa di Gaza," katanya sambil merujuk kepada sekatan Israel terhadap bekalan ke Gaza.

Suhair berkata pihaknya juga akan menyediakan tenaga pakar dan teknikal untuk membantu pihak berkuasa di Gaza mengendalikan bom yang tidak meletup, melalui program dekontaminasi senjata ICRC di Gaza telah dimulakan sejak 2014.

Ditanya mengenai kos dan berapa lama masa diperlukan untuk membangunkan semula Gaza, ujar Suhair masih terlalu awal untuk meramalkan dan pasukan mereka sudah berada di Gaza bersama pihak berkuasa tempatan.

Mengenai vaksinasi COVID-19 di Gaza, katanya program itu sudah dimulakan di Gaza pada Mac namun, tergendala disebabkan serangan Israel, bekalan vaksin hanya cukup untuk memenuhi keperluan kira-kira 55,000 orang daripada jumlah dua juta penduduk.

"Masalah penjarakan sosial dan kekurangan vaksin di Gaza menjadi kebimbangan kementerian kesihatan dan juga ICRC," katanya sambil menambah sekitar 40,000 orang telah disuntik setakat ini.

Selain itu katanya, keadaan ekonomi di Gaza terus bertambah buruk, pendapatan penduduk terjejas dan ramai yang dibebani dengan masalah kewangan.