Punca sebenar pencemaran belum diketahui - Air Selangor

Hasimi Muhamad
Oktober 20, 2020 11:41 MYT
Siasatan awal Air Selangor mengesan bau pelarut yang hampir sama dengan pencemaran di Sungai Gong, awal bulan lalu. -Gambar fail
SHAH ALAM: Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) belum dapat mengenal pasti punca sebenar pencemaran bau di Sungai Gong, yang menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan di Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman pihaknya masih menunggu makluman daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta polis.
"Masih dalam siasatan, saya tunggu jawapan daripada JAS, LUAS, dan polis Selangor.
"Saya tidak mempunyai maklumat (bila keputusan akan diperolehi)," katanya dalam sidang media di Pangsapuri Rimba Jaya di Seksyen 16, di sini pada Selasa.
Semalam, Kementerian Alam Sekitar dan Air mengenal pasti tiga kawasan kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Gong.
Selain itu, siasatan awal Air Selangor mengesan bau pelarut yang hampir sama dengan pencemaran di Sungai Gong, awal bulan lalu.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan di muka sauk loji bagi mengesan sebarang pencemaran bau.
Selain itu, katanya kerjasama turut dijalankan bersama agensi-agensi lain dalam memastikan pemantauan lebih ketat bagi mengelakkan insiden sama berulang.
"Pemantauan sungai ada beberapa agensi tetapi saya tidak boleh komen usaha-usaha mereka.
"Seperti yang anda tahu, LUAS bertanggungjawab di Selangor untuk memastikan penguatkuasaan sungai dan terdapat agensi-agensi lain juga.
"Kita juga (ada) JAS untuk memastikan mana-mana kilang berdaftar membebaskan sisa karbon yang mematuhi piawaian kualiti JAS," katanya.
#Klang #polis #siasatan #Air Selangor #Suhaimi Kamaralzaman #Air Selangor Sdn Bhd #pencemaran sungai #Sungai Gong #Ganggaun air