KUANTAN: Sempena menyambut Hari Kebangsaan ke-66, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin di sini telah menganjurkan pertandingan mewarna dan melukis poster sepanjang bulan Ogos ini.

Guru pendidikan seni visual, Rizuan Shah Hapipi memaklumkan, penganjuran aktiviti ini merupakan antara inisiatif menterjemahkan erti kemerdekaan negara mengikut persepsi dalam kalangan pelajar.

“Seperti tahun sebelum ini, poster bertema Hari Kemerdekaan menyaksikan karya seni pelajar bebas berkarya menghasilkan poster mengikut kreativiti masing-masing.

“Penghasilan Poster Hari Merdeka ini juga dapat menarik minat pelajar agar lebih cakna mengenai sejarah kemerdekaan negara kita pada tahun 1957,” katanya kepada Astro AWANI.

Antara karya seni pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan

Antara karya seni pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan

Dalam pada itu, Setiausaha Program sambutan bulan kebangsaan, Suzana Awang berkata program yang diadakan pada setiap bulan Kemerdekaan ini mampu memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pelajar dengan mengingati peristiwa bersejarah dalam pembentukan negara.

“Sejajar dengan tema sambutan Hari Kebangsaan, Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, sekolah Bukit Rangin menyahut tema Hari Kebangsaan untuk menjalinkan perpaduan kepelbagaian kaum dan etnik di Malaysia melalui penghasilan karya kreatif dalam kalangan murid.

“Atas sebab itu penggunaan elemen-elemen perpaduan rakyat Malaysia diterjemahkan dalam karya disamping menggunakan simbol dan lambang kemegahan Malaysia seperti bangunan KLCC, wau, bunga raya, pakaian yang melambangkan kaum dan sebagainya.

“Dalam masa sama, kita mahu mencungkil bakat terpendam murid dalam bidang seni lukis,” akhirinya.