MALAYSIA

Pura-pura jadi pelanggan sebelum larikan tiga telefon bimbit

Sinar Harian 23/08/2025 | 04:54 MYT
Tangkap layar video mengenai kejadian yang tular di laman sosial. -Foto Sinar Harian
KUANTAN: Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai warga asing yang terlibat melarikan tiga telefon bimbit jenama terkenal di sebuah kedai telefon dalam sebuah pusat beli belah di sini, pada Jumaat.


Ringkasan AI
  • Polis memburu seorang lelaki dipercayai warga asing yang melarikan tiga telefon bimbit bernilai RM8,000 dari sebuah kedai di pusat beli-belah Kuantan.
  • Suspek berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan telefon, dan rakaman CCTV kejadian kini tular di media sosial.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Kuantan di talian 09-5652222.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.45 malam itu melibatkan kerugian RM8,000.

Menurutnya, siasatan mendapati, suspek berjaket dan memakai pelitup muka datang ke kedai telefon itu berpura-pura sebagai pelanggan.

"Lelaki itu kemudiannya bertindak melarikan tiga telefon bimbit yang dipamerkan.

"Jurujual bertugas bertindak mengejar namun gagal apabila suspek berjaya melarikan diri," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Ashari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dalam bangunan.

Beliau berkata, polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5652222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Tambah beliau, para peniaga juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan memastikan tahap keselamatan di premis masing-masing dalam keadaan baik.

Kejadian itu sebelum ini tular di laman sosial selepas bukti rakaman CCTV dikongsi netizen. -Sinar Harian





#warga asing #Curi telefon bimbit #pusat beli-belah Kuantan #CCTV