MALAYSIA
Purata 15 kes seludup bahan radioaktif direkodkan setiap tahun - Atom Malaysia
JOHOR BAHRU: Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) merekodkan secara purata 15 kes penyeludupan bahan radioaktif setiap tahun dengan kebanyakannya dikesan berlaku di Pelabuhan Klang, Selangor.
Ringkasan AI
- Atom Malaysia merekodkan purata 15 kes penyeludupan bahan radioaktif setahun, kebanyakannya dikesan di Pelabuhan Klang melalui Radiation Portal Monitor.
- Penyeludup sering menggunakan taktik mengisytiharkan barangan lain seperti tenusu atau mainan untuk mengaburi pihak berkuasa, dengan bahan radioaktif seperti Cobalt-60 dan Cesium-137 berjaya dikesan.
- Atom Malaysia menegaskan kawalan ketat akan diteruskan kerana penyeludupan bahan radioaktif boleh membahayakan rakyat dan negara, serta memastikan semua urusan bahan ini mematuhi undang-undang.
"Kebanyakan kes (penyeludupan) di Pelabuhan Klang, iaitu pelabuhan yang sangat aktif bagi import dan eksport, dengan beberapa kontena dikesan mengandungi bahan radioaktif.
"Penyeludup menggunakan pelbagai taktik, isytihar barang lain seperti tenusu, barang mainan dan tekstil tetapi sebenarnya ia mengandungi bahan tersebut," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025, di sini hari ini.
Monalija berkata bahan radioaktif yang dirampas akan dihantar pulang ke negara asal sekiranya diseludup masuk ke dalam negara.
"Sekiranya ia diseludup keluar dari negara kita, kerajaan akan rampas dan bawa ke mahkamah untuk membuat keputusan sama ada mahkamah akan putus lucut hak daripada pemiliknya.
"...jadi bahan radioaktif tersebut akan diambil kerajaan untuk diuruskan sebaiknya atau ia akan dipulangkan kepada pemilik setelah dikenakan denda," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kes penyeludupan tersebut dianggap serius dan perlu dikekang kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan negara amnya.
Beliau berkata bahan radioaktif lazimnya digunakan dalam industri seperti minyak dan gas, plastik serta elektronik, sekali gus menjelaskan aktiviti penyeludupan secara haram dipercayai berlaku bagi mengelakkan kos yang perlu ditanggung atau bagi mengaut keuntungan.
"Biasanya kalau dibawa secara haram adalah untuk mengelakkan kos (ditanggung syarikat) atau mereka tidak tahu ada undang-undang yang mengawal bahan radioaktif dalam negara tetapi kita tidak akan benarkan perkara itu berlaku," katanya.
Justeru, Monalija berkata Atom Malaysia sentiasa melakukan kawalan ketat bagi memastikan apa juga bahan radioaktif yang masuk dan keluar dari negara ini adalah dilakukan secara sah mengikut peruntukan akta sedia ada.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami