MALAYSIA
Pusat beli-belah mesti sediakan fasiliti kitar semula mulai 1 Jan 2026 - Nga

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (NCEC) memutuskan supaya semua pusat beli-belah mesti menyediakan fasiliti kitar semula berkuat kuasa pada 1 Jan 2026, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Ringkasan AI
- Semua pusat beli-belah wajib sediakan fasiliti kitar semula mulai 1 Jan 2026, sebagai syarat pelesenan PBT selaras usaha kurangkan penggunaan plastik sekali guna.
- Perintah khidmat masyarakat diperkenalkan bagi kesalahan buang sampah kecil, termasuk terhadap pelancong dan individu berpangkat tinggi, bertujuan tingkatkan kesedaran awam.
- Langkah ini bantu atasi masalah banjir kilat di bandar, selain menambah baik pengurusan sisa pepejal dan memastikan keadilan dalam pentadbiran MADANI.
"Mana-mana pusat beli-belah yang tidak sediakan (fasiliti kitar semula), maka tidak akan diberikan lesen perniagaan oleh PBT," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
RUU berkenaan kemudiannya diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 10 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Nga berkata RUU itu susulan kepada kelulusan Rang Undang-undang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 serta RUU Kerajaan Tempatan (Pindaan) 2025 semalam, yang antara lain bertujuan memberikan kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah khidmat masyarakat terhadap kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Menerusi penguatkuasaan perintah itu katanya, KPKT yakin isu pembuangan sampah kecil yang menyebabkan longkang, saliran dan parit tersumbat serta kotor dapat ditangani secara progresif sekali gus mengurangkan masalah banjir kilat, khususnya di kawasan bandar.
Nga berkata perintah khidmat masyarakat itu juga akan terpakai kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan seseorang, malah pelancong luar negara yang didapati bersalah membuang sampah di tempat awam boleh disabitkan.
"Bayangkan (sama ada) Datuk Seri (atau) Tan Sri, akhirnya dia diminta untuk sapu jalan (atas perintah khidmat masyarakat), maka ia mampu meningkatkan keinsafan tentang menjaga kebersihan awam," katanya.
Selain itu, beliau berkata pemilik haiwan peliharaan juga tertakluk kepada peraturan sama sekiranya najis haiwan dibuang secara sengaja di tempat awam kerana kotoran itu dianggap sebagai sampah.
"Saya tegaskan di bawah pentadbiran kerajaan MADANI, semuanya terima layanan secara adil dan saya tekankan bahawa objektif perintah khidmat masyarakat ini bukan untuk menghukum, tetapi untuk meningkatkan kesedaran dan keinsafan orang ramai tentang menjaga kebersihan awam," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami