ROMPIN: Kewujudan pusat bersalin di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman di sini, merupakan cetusan idea dan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus pada taklimat beliau sempena lawatan kerja Seri Paduka ke Pulau Tioman hari ini, yang turut melibatkan kunjungan ke klinik kesihatan tersebut.

Turut berangkat, anakanda Seri Paduka iaitu Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Dr Nor Azimi berkata Seri Paduka bertitah demikian semasa mencemar duli ke Pulau Tioman pada Mac tahun lepas, selepas disembah maklum bahawa semua kelahiran anak penduduk berlaku di luar pulau.

"Seri Paduka telah menitahkan supaya diwujudkan pusat bersalin bagi memudahkan penduduk Pulau Tioman untuk bersalin di sini, dan tidak perlu bersusah payah ke Rompin atau Mersing (Johor)," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri Pahang.

Sempena kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan penyerahan ambulans pacuan empat roda sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), selain turut mencemar duli menyantuni tiga ibu mengandung yang bakal menjadi antara 'pesakit terawal' perkhidmatan pusat bersalin itu.

Dr Nor Azimi berkata kewujudan pusat bersalin itu merupakan kerjasama antara MUIP, Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan Pahang.

MUIP secara keseluruhannya menyumbangkan RM2.92 juta untuk Klinik Kesihatan Tekek, dengan RM2.37 juta adalah bagi aset dan RM545,000 adalah peruntukan naik taraf bangunan klinik yang sudah beroperasi sejak 2003.

Buat masa ini, klinik itu dilengkapi 38 kakitangan pelbagai jawatan, selain turut mengelola tiga klinik desa iaitu di Juara, Genting dan Mukut, semuanya di Pulau Tioman. Pada tahun lepas, klinik tersebut menerima kedatangan 4,580 pesakit dengan 35 peratus daripadanya adalah pelancong.

Selain perkhidmatan pesakit luar, kecemasan dan kesihatan ibu dan anak, Klinik Kesihatan Tekek turut menyediakan perkhidmatan pergigian bermula Oktober lepas, selepas masing-masing seorang pegawai pergigian dan pembantu pembedahan pergigian ditugaskan secara kekal di situ.

Dr Nor Azimi berkata semua fasiliti kesihatan di pulau itu dilengkapi talian Internet jalur lebar MyGovNet selain KKM telah meluluskan pemasangan jalur lebar lebih stabil yang membolehkan konsultasi sidang video dilakukan bersama pakar, selain sistem pengurusan pesakit dlilakukan secara 'paperless'.

Pada lawatan kerja itu, Al-Sultan Abdullah berkenan mendengar taklimat perancangan pembinaan masjid utama Pulau Tioman di tapak masjid sedia ada di Kampung Tekek, yang dapat memuatkan 761 jemaah, selain turut melibatkan pembinaan kuarters kakitangan.

Seri Paduka juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada 41 penerima terdiri daripada penduduk Pulau Tioman sebelum mencemar duli berangkat ke Jamuan Rakyat di sebuah pusat peranginan di sini.

-- BERNAMA