MALAYSIA
Pusat dialisis PERKESO keenam di Pulau Pinang, manfaat pencarum di utara - Sim
Sim (kanan) ketika ditemu bual pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Dialisis PERKESO Cawangan Seberang Jaya dan Penyampaian Tajaan Lindung Kendiri di Pejabat PERKESO Negeri hari ini. - Gambar Bernama
BUTTERWORTH: Pusat dialisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang keenam dan pertama di utara dibuka di Seberang Jaya di sini hari ini bagi memperluaskan perkhidmatan kepada pencarum.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pengoperasian pusat berkenaan di pejabat PERKESO Pulau Pinang itu akan memberi manfaat kepada lebih 15,000 pencarum aktif yang sedang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara khususnya di wilayah utara.
"Kapasiti pusat dialisis ini adalah 36 pesakit sehari dengan kemampuan yang boleh ditingkatkan kepada 70 pesakit sehari jika terdapat keperluan dan ia juga strategik kerana berdekatan dengan Hospital Seberang Jaya serta Hospital Bukit Mertajam.
"Secara keseluruhan, enam pusat dialisis PERKESO mampu memberikan rawatan kepada 400 hingga 500 pesakit setiap hari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pusat Dialisis PERKESO Cawangan Seberang Jaya dan Penyampaian Tajaan Lindung Kendiri di Pejabat PERKESO Pulau Pinang.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal.
Sim berkata antara faktor PERKESO menubuhkan pusat dialisis termasuk untuk melengkapkan ekosistem perkhidmatan dengan memudahkan akses kepada pencarum mendapatkan khidmat dialisis selain daripada 800 pusat dialisis panel swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata ia juga dapat mengurangkan beban kewangan pencarum berikutan kos di pusat dialisis swasta mencecah RM200 setiap kali rawatan atau RM2,800 bagi 14 kali rawatan sebulan sedangkan subsidi PERKESO hanya RM2,100, bermakna pesakit perlu menanggung sehingga RM700 sebulan.
"Dengan adanya pusat dialisis PERKESO, pesakit atau pencarum yang datang sini, tidak perlu bayar apa-apa, ia percuma," katanya.
Selain Pulau Pinang, PERKESO mengendalikan lima pusat dialisis iaitu di Klang, Shah Alam, Kluang, Batu Pahat dan Kuala Lumpur.
Berdasarkan statistik 2024, PERKESO memperuntukkan RM389.2 juta bagi menampung kos rawatan dialisis pencarum, manakala dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kos berkenaan mencecah RM272.99 juta.
-- BERNAMA