MALAYSIA

Pusat Dialisis PERKESO Seberang Jaya mudahkan pencarum di utara jalani rawatan

Astro Awani 20/09/2025 | 09:00 MYT
Steven Sim (tiga, kiri) menyaksikan Siew Fook (tiga, kanan) menyampaikan tajaan caruman LINDUNG Kendiri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed (kiri).
SEBERANG JAYA: Pembukaan Pusat Rawatan Dialisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Seberang Jaya, hari ini, memberi kemudahan buat pencarum di utara tanah air menjalani rawatan dialisis.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata pengoperasian pusat dialisis baharu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan PERKESO untuk memperluaskan perkhidmatan kepada pencarum yang memerlukan rawatan dialisis secara percuma

Katanya, pusat dialisis keenam milik PERKESO yang baru dirasmikan itu akan memberi manfaat kepada lebih 15,000 pencarum aktif di seluruh negara yang sedang menjalani rawatan dialisis.

Selain itu, katanya, dengan adanya pusat dialisis berkenaan, beban kos rawatan ditanggung para pesakit dapat dikurangkan selain dapat menjimatkan perbelanjaan negara dalam jangka panjang.

"Ketika ini, kos yang ditanggung pencarum yang mendapatkan rawatan dialisis di pusat rawatan swasta semakin meningkat, justeru kami ingin membantu mengurangkan beban pencarum dengan menawarkan rawatan di pusat dialisis di bawah kendalian PERKESO.

“Jadi, dengan adanya pusat dialisis ini maka pesakit ataupun pencarum yang datang sini dia tidak perlu bayar apa-apa kerana ada subsidi... ini antara faktor kenapa kita mewujudkan beberapa buah pusat dialisis kendalian PERKESO sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Dialisis PERKESO Cawangan Seberang Jaya pada Sabtu yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Pusat baharu itu dilengkapi kemudahan moden, rawatan berkualiti tinggi dan kakitangan berpengalaman serta berdedikasi selain mampu menampung penyediaan rawatan dialisis untuk 36 pesakit sehari.

Pusat dialisis itu turut menambah baik ekosistem perkhidmatan PERKESO terutamanya dalam aspek perubatan kepada pencarum.

Selain Pulau Pinang, PERKESO sudah mempunyai lima Pusat Dialisis masing- masing dua di Selangor (Klang dan Shah Alam), Johor (Kluang dan Batu Pahat) dan Kuala Lumpur.

Untuk rekod, berdasarkan statistik tahun 2024, PERKESO memperuntukkan RM389.2 juta bagi menampung kos rawatan dialisis pencarum manakala dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kos berkenaan mencecah RM272.99 juta.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pengangkutan menyerahkan tajaan caruman LINDUNG Kendiri yang sebelum ini dikenali sebagai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) membabitkan 35,000 pemandu teksi pemandu kereta sewa dan 15,000 pemandu bas seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Siew Fook berkata kerajaan membiayai 70 peratus caruman, manakala selebihnya ditanggung sendiri oleh pencarum.

Beliau berkata inisiatif itu bagi memastikan mereka yang bekerja sendiri di bawah sektor pengangkutan penumpang di negara ini terus dilindungi sekiranya mereka ditimpa kemalangan.

"Ramai juga yang bekerja sendiri, termasuk juga pemandu teksi, mereka bekerja sendiri tanpa majikan dan tidak mencarum kerana kurang kesedaran.

“Jadi dengan adanya tajaan daripada Kementerian Pengangkutan untuk melindungi mereka, saya berharap agar para pemandu sendiri lebih peka dan ambil berat tentang perlindungan sosial mereka pada masa depan,” katanya.

#Pusat Dialisis PERKESO #Seberang Jaya #Steven Sim #Anthony Loke