Pusat Hidupan Liar Semenggoh (PHLS) menerima Anugerah Pelancongan Cemerlang Dunia 2020 di bawah kategori Program Pelancongan Mampan.

Anugerah yang akan diterima oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) di Berlin, Jerman pada bulan depan itu bukti dunia mengiktiraf usaha Sarawak dalam melihara dan memulihara alam sekitarnya.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pengiktirafan ini akan menjadi penanda aras dalam penjagaan khazanah rimba di peringkat antarabangsa.

Selain itu ia juga bakal merancakkan lagi industri pelancongan di Bumi Kenyalang.

"Dengan anugerah seperti ini, mereka yang berminat boleh berkunjung ke negeri Sarawak untuk melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana kita menjaga khazanah-khazanah hutan dan sebagainya," jelas Abdul Karim.

Beliau berkata demikian kepada media di majlis pelancaran program Sarawak Kita Empun di Kuching pada Ahad.

Kejayaan PHLS meraih anugerah berkenaan diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa Hari Sayang Enggang 2020 di Rizab Semulajadi Piasau (PNR) di Miri pada Sabtu.

Terletak sekitar 24 kilometer dari pusat bandar raya Kuching, PHLS yang dibuka sejak tahun 1975 terkenal dengan hidupan liar terutama Orang Utan yang menjadi daya tarikan pengunjung dan pelancong asing ke negeri ini.