SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Pusat komuniti Islam berperanan kukuh perpaduan - Mohd Na'im

Bernama 21/08/2025 | 20:30 MYT
Mohd Na’im menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Pusat Komuniti Islam Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, 21 Ogos 2025. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pusat komuniti Islam perlu berperanan lebih daripada sekadar tempat ibadah, malah menjadi ruang inklusif yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.


Ringkasan AI
  • Menteri Agama Datuk Mohd Naim Mokhtar mahu pusat komuniti Islam jadi ruang inklusif, bukan sekadar tempat ibadah.
  • Pusat komuniti perlu pupuk hubungan antara agama, sedia program pendidikan, latihan kemahiran dan kebajikan.
  • Beliau gesa TICC dipercepatkan kelulusan sebagai lokasi tetap solat Jumaat.


Beliau berkata pusat komuniti seumpama itu berpotensi untuk memupuk hubungan antara agama, mengukuhkan ikatan komuniti serta mewujudkan peluang untuk perkembangan diri.

"Bayangkan pusat komuniti Islam sebagai ruang yang memupuk hubungan antara agama, menggalakkan persefahaman bersama, menawarkan peluang untuk menimba ilmu, membina kemahiran serta mendapatkan sokongan.

"Ruang yang menyatukan hati, tempat di mana individu daripada pelbagai latar belakang merasa dialu-alukan, dan persahabatan yang berkekalan dapat terjalin," katanya berucap pada majlis pelancaran Pusat Komuniti Islam Tun Razak Exchange (TICC) di sini semalam.

Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Azmar Talib.

Mohd Na'im berkata sejak dahulu lagi, masjid berfungsi sebagai pusat komuniti yang menjadi nadi kepada pentadbiran, pendidikan dan pembangunan sosial, justeru semangat sama perlu diterapkan dalam pusat komuniti Islam moden.

Beliau berkata pusat komuniti yang menyediakan program pendidikan, latihan kemahiran serta aktiviti kebajikan mampu mempertingkat kesejahteraan masyarakat serta mencerminkan nilai kasih sayang dan khidmat kepada insan.

Mohd Na'im turut menggesa pihak berkaitan supaya mempercepat kelulusan TICC diiktiraf sebagai lokasi menunaikan solat Jumaat tetap.

Sejak tahun lepas, pusat komuniti terbabit yang mampu memuatkan lebih daripada 1,000 individu hanya berfungsi sebagai lokasi sementara untuk solat Jumaat.

-- BERNAMA





#pusat komuniti Islam #perpaduan #Mohd Na'im Mokhtar #agama