Pusat Multidimensi Farm Fresh bantu murid miskin dalam akademik

Dewi Nur Harasha Alias
September 24, 2023 06:01 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek beramah mesra dengan murid Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Haris Harian Zamry, 10, semasa melawat Pusat Multidimensi di sekolah berkenaan hari ini. - Foto Bernama
NIBONG TEBAL: Syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan, Farm Fresh Bhd merancang membuka 10 Pusat Multidimensi di seluruh negara yang akan memberi manfaat kepada murid-murid kurang bernasib baik.
Ketua Pengarah Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal atau ‘Boss Susu’ berkata, setakat ini, Pusat Multidimensi yang menelan kos RM2 juta itu sudah diwujudkan di dua sekolah iaitu di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dan Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, di Nibong Tebal .
Katanya, 500 murid dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT ) yang memiliki potensi yang baik dalam akademik akan menerima manfaat di pusat berkenaan, antaranya dapat mengikuti kelas tuisyen, makanan menu sihat dan susu percuma selama setahun.
"Dengan adanya Pusat Multidimensi ini kita mulakan dia sebagai pilot projek, jadi bila pilot projek ini, kita ambil anak dari Tahun 3,4 dan 5, dan kita bagi dia makanan sihat, tuisyen, kelas kerohanian dan juga pemeriksaan kesihatan serta kemahiran hidup supaya mereka ini boleh mengadaptasi semua skil diperlukan untuk mereka apabila mereka dewasa kelak.
"Kita bekerjasama dengan KPM dan kita akan buat 10 kelas Pusat Multidimensi dan sekolah ini yang kedua, dan kita punya harapan supaya anak -anak ini lebih termotivasi dan bersemangat untuk datang belajar dengan meletakkan masalah mereka ke tepi supaya dapat satu pencapaian lebih tinggi dalam akademik," katanya.
Selain Pusat Multidimensi, Azmi berkata, Farm Fresh juga akan melaksanakan beberapa program CSR lain termasuklah Program Susu Jualan Harga Rahmah kebangsaan serta Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia yang akan disambut pada tahun 2024.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Pusat Multidimensi yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, di sini pada Ahad.
Sementara itu Fadhlina berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilakukan syarikat korporat berkenaan dan berharap lebih ramai pihak korporat dan NGO lain membantu untuk membuka lebih banyak Pusat Multidimensi di seluruh negara.
"Dengan penglibatan penuh korporat ini satu kelas dan ruang pembelajaran untuk menangani isu kemiskinan pembelajaran telah diselesaikan pada hari ini.
"Begitu juga dengan kemiskinan nutrisi telah dibangunkan dengan penyediaan makanan dan keperluan susu dan kelas pembinaan sahsiah anak-anak dapat dibangunkan," katanya.
#Kementerian Pendidikan #Farm Fresh #Fadhlina Sidek #kemiskinan multidimensi #Nibong Tebal #Azmi Zainal