Pusat panggilan judi dalam talian dibongkar, polis tahan empat warga Nepal

Bernama
Januari 19, 2024 19:47 MYT
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid menunjukkan gambar empat suspek warga Nepal ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membongkar kegiatan judi dalam talian di sebuah pusat panggilan atau calling centre yang mengaut keuntungan RM15,000 hingga RM20,000 sebulan dalam serbuan di sebuah apartmen di Tanjung Tokong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata dalam serbuan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah pada 5 petang menerusi Op Dadu itu, pihaknya turut menahan empat lelaki warga Nepal berusia 27 hingga 32 tahun.
"Berdasarkan siasatan awal, kesemua warga asing itu merupakan pekerja kepada sindiket perjudian tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata polis merampas peralatan komputer termasuk tiga unit komputer riba dan modem Internet, selain 10 unit telefon bimbit, kerusi, meja dan peralatan menulis di premis tersebut yang disewa sindiket itu sejak tiga bulan lepas.
Modus operandi sindiket itu katanya adalah menggunakan aplikasi Facebook untuk mempromosikan pelbagai permainan perjudian secara dalam talian yang menyasarkan pelanggan di Nepal.
Razlam berkata kesemua warga Nepal itu mempunyai pasport namun pihaknya akan menyemak dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengesahkan sama ada dokumen itu tulen atau sebaliknya.
Menurut Razlam, empat lelaki itu mendakwa datang ke negara ini untuk bekerja dalam sektor lain, namun tiada pekerjaan, sebelum direkrut untuk bekerja di bawah sindiket itu dengan gaji RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan anggota sindiket perjudian tersebut dan pihak polis percaya mereka masih berada di sekitar negeri ini," katanya.
Beliau berkata empat lelaki itu direman selama 3 hari hingga 21 Jan ini di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
-- BERNAMA
#polis pulau pinang #judi dalam talian #warga Nepal ditahan #Pusat Panggilan