CYBERJAYA: Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UM) hari ini mengambil inisiatif mewujudkan simulasi persidangan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi mengupas dan membicarakan isu jenayah rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Ia bertujuan memaparkan situasi sebenar persidangan ICC serta memberi pendedahan terhadap pendekatan atau model digunakan dalam persidangan itu.

Menurut Dekan Pusat Pendidikan Berterusan UM, Profesor Madya Shahrul Mizan Ismail, ia dianjurkan atas dasar solidariti bersama warga Palestin yang terus diasak dan diserang rejim Zionis selain memberi pendedahan kepada masyarakat.

‘’Untuk memberikan pendedahan yang lebih menarik kepada orang awam, kita lakukan simulasi prosiding pendakwaan Benjamin Netanyahu di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang sebenarnya terletak di The Hague, Netherland.

‘’Tapi kita simulasikan dan kita bayangkan semua jenayah-jenayah yang boleh kita dakwa beliau di bawah pelbagai instrumen antarabangsa... jadi dengan harapan, ini dapat memberi maklumat dan pendedahan kepada masyarakat,’’ katanya.

Simulasi itu akan diadakan dalam suasana sebenar mahkamah dan akan memfokuskan mengenai pelanggaran dan kesalahan yang dilakukan Israel, melibatkan pelajar-pelajar kedoktoran dalam bidang undang-undang.

Bertemakan jenayah-jenayah antarabangsa yang boleh didakwa terhadap Israel, Pusat Pendidikan Berterusan UM juga menganjurkan pertandingan esei bagi membolehkan orang awam menzahirkan harapan terhadap isu keamanan sejagat.

Selain itu, forum solidariti Palestin juga dianjur bagi membincangkan isu-isu berkaitan konflik tersebut.

Ia membariskan beberapa panel antaranya Profesor Salawati Mat Basir, Pensyarah Pusat Kajian Undang-Undang Antarabangsa Dan Siyar (CILAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Profesor Mohamad Naqib Eishan Jan, Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa (UIA); Profesor Madya Ahmad Faisal Abdul Hamid dari Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam UM; dan Abdalfatah Asqool yang merupakan Penyelidik Undang-Undang Awam Antarabangsa di UM.