Pusat Penyelidikan Dato' Panglima Kinta Eusoff UM hab penyelidikan perubatan

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 13, 2021 04:55 MYT
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Pusat Penyelidikan Dato Panglima Kinta Eusoff pada Isnin. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan Dato Panglima Kinta Eusoff dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin bakal dijadikan hab yang merangkumi segala aspek berkaitan penyelidikan.
Ini termasuk bahagian pengurusan, latihan, komunikasi dan pengantarabangsaan selain pengenalan kepada mesin imbasan tiga dimensi (3D) yang juga merupakan salah satu inisiatif Jabatan Ortopedik Surgeri, Fakulti Perubatan Universiti Malaya.
Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Datuk Ir Mohd Hamdi Abd Shukor, dalam ucapannya berkata, beliau berharap kerja-kerja penyelidikan dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan efisyen di pusat berkenaan.
“Saya juga mengharapkan agar para penyelidik di fakulti perubatan ini terus komited dalam menghasilkan penyelidikan yang berkualiti. Dunia berdepan dengan banyak cabaran global pada masa akan datang, perubahan iklim, urbanisasi yang pesat, penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, kanser, kesihatan mental, serta penyakit berjangkit yang baharu mahupun sedia ada.
"Semua ini sudah pastinya akan melibatkan penyelidik perubatan yang sentiasa bersemangat dalam meningkatkan kualiti dan taraf hidup kepada yang lebih baik.
“Pusat penyelidikan ini akan berperanan sebagai pusat setempat (one-stop centre) dan sangat komited dalam memberi sokongan yang diperlukan oleh semua penyelidik supaya dapat menghasilkan penyelidikan yang lebih berimpak tinggi sejajar dengan usaha kita dalam mendepani cabaran global di masa hadapan,” katanya pada majlis perasmian pusat tersebut hari ini.
Penubuhan Pusat Penyelidikan Dato' Panglima Kinta Eusoff ini tercetus hasil daripada sumbangan Alumni Universiti Malaya iaitu Datin Ragayah Mohd Eusoff dan juga Memorandum Perjanjian (MoU) yang telah ditandatangani antara beliau dan Universiti Malaya.
Datin Ragayah dalam ucapannya juga berharap bahawa sumbangan oleh beliau dapat digunakan dan dimanfaatkan untuk terus melahirkan doktor perubatan yang cemerlang serta penyelidikan yang berkesan, melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi.
#kesihatan mental #penyakit berjangkit #Sultan Perak #UM