TAIPING: Kerajaan akan membina sebuah pusat repositori yang akan menempatkan lebih 200,000 koleksi arkeologi milik Jabatan Muzium Malaysia di pekarangan Muzium Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berkenaan membabitkan kos sebanyak RM23 juta dan pembinaan akan bermula tahun depan serta dijangka siap sepenuhnya pada 2031.
Beliau berkata pembinaan pusat repositori itu bertujuan menempatkan artifak arkeologi dan serpihan seramik serta pelbagai koleksi milik Jabatan Muzium Malaysia.
"Ini kali pertama peruntukan pembangunan khusus seperti itu diberikan oleh kerajaan Persekutuan bagi tujuan penyimpanan koleksi secara lebih sistematik.
"Repositori baharu itu bertujuan memusatkan pelbagai koleksi kerana ruang simpanan sedia ada tidak lagi mencukupi. Ia juga akan menyediakan ruang khas untuk penyelidik menjalankan kajian serta mengasingkan koleksi organik dan bukan organik dengan lebih teratur," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Magis dan Logam: Semangat, Kuasa dan Seni di Muzium Perak, yang turut dihadiri Pengarah Muzium Perak Mohd Nasrulamiazam Mohd Nasir di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata ketika ini JMM mempunyai sebanyak 37,414 koleksi etnologi, 76,666 koleksi spesimen alam semula jadi serta 322,966 koleksi arkeologi.
Terdahulu, dalam ucapan pada majlis itu, beliau berkata cabaran terbesar dalam pemeliharaan warisan pada masa kini ialah memastikan warisan yang bersifat "hidup" terus mempunyai kesinambungan."
"Kemahiran seperti menempa, mengukir dan menghasilkan karya logam tradisional tidak boleh hanya disimpan dalam katalog atau rak koleksi. Ia perlu terus diceritakan, dipelajari dan dihargai,” katanya.
Beliau berkata pameran itu adalah antara usaha berterusan Jabatan Muzium Malaysia dalam memperkasakan peranan muzium sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan pemeliharaan warisan negara.
-- BERNAMA