Pusat Sains Negara dibuka semula, tawar pengalaman imersif kepada pengunjung

Mohammad Fuad memberi penerangan ketika sidang media selepas pelancaran Karnival MSN 2025 Zon Utara di Pusat Sains Negara cawangan utara, 25 Okt 2025. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Pusat Sains Negara (PSN) yang dibuka semula kepada pengunjung sejak 1 Okt lepas kini dilengkapi pelbagai kemudahan dan modul pendidikan baharu selain menawarkan pengalaman imersif yang lebih menyeronokkan.
Pengarah PSN Mohammad Fuad Rahman berkata sebelum ini pusat itu ditutup dari Mac hingga September lepas bagi kerja pembaikan termasuk penambahbaikan galeri pameran.
"Antara pembaharuan utama ialah sistem kemasukan tanpa tunai sepenuhnya. Pengunjung kini perlu membeli tiket secara dalam talian atau melalui kiosk yang disediakan di lobi bagi mengurangkan kesesakan di pintu masuk.
"PSN juga menampilkan Galeri Obskura XR yang merupakan pameran bercirikan kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya (VR) yang menawarkan pengalaman pergerakan kinestetik seluruh badan kepada pengunjung," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis pelancaran Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Utara di sini pada Sabtu.
Selain itu, beliau berkata PSN turut memperkenalkan modul pendidikan baharu yang memberi tumpuan kepada pendekatan sains berasaskan pengalaman, melibatkan pelbagai peringkat umur daripada prasekolah hingga dewasa.
Mohammad Fuad berkata sejak dibuka semula, PSN menerima jumlah pengunjung yang amat memberangsangkan mencecah hingga 10,000 orang pada hujung minggu.
"PSN turut menganjurkan program pendidikan dan aktiviti sains secara berkala bagi meningkatkan minat masyarakat terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi (STI)," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MSN 2025 Zon Utara yang bermula hari ini hingga Isnin merupakan kesinambungan kepada usaha pembudayaan sains di seluruh negara.
Beliau berkata program itu sebelum ini telah diadakan di Sarawak, Terengganu, Sabah serta Johor dan kini di Kedah, sebelum kemuncaknya di Kuala Lumpur pada 8 hingga 11 Nov ini.
Beliau menambah penganjuran MSN 2025 turut disokong pelbagai rakan strategik dengan Yayasan MR D.I.Y. selaku penaja utama.
"Karnival kemuncak Minggu Sains Negara 2025 akan diadakan di PSN Kuala Lumpur dan majlis penutup pada 11 Nov dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof," katanya.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan 75,000 penyertaan fizikal bagi keseluruhan siri MSN dan setakat ini lebih 60,000 penyertaan telah direkodkan.
"Kami turut menjangkakan kira-kira 30,000 penyertaan semasa karnival kemuncak nanti. Ini adalah pencapaian membanggakan dalam usaha pembudayaan sains negara," katanya.
Mohammad Fuad berkata PSN bersama Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) turut menjalankan kajian impak bagi memastikan program pembudayaan sains yang dijalankan benar-benar memberi kesan terhadap peningkatan minat masyarakat terhadap STI.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


