MALAYSIA
Pusingan U bertukar tragedi: Bayi perempuan maut, ibu bapa cedera
Kemalangan membabitkan kereta yang dinaiki tiga beranak itu di Lebuh AMJ Batu Gajah pada petang semalam. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama ibu bapanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ), Batu Gajah, di sini petang semalam.
Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu mengakibatkan mangsa, Nur Hafirzah Qintina Shahrul Asraf Naim, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor manakala ibu bapanya yang cedera turut dirawat di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki tiga beranak dari arah lampu isyarat Lebuh AMJ Merlimau menuju Batu Gajah merempuh sebuah lori yang cuba membuat pusingan U.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki keluarga itu gagal mengelak lori yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun, yang memasuki laluan pusingan U dari lorong kanan.
"Akibat rempuhan itu, ibu bayi, Nurulnadiah Balqis Abdullah, 22, mengalami luka di kepala manakala bapa, Shahrul Asraf Naim Khasiran, 35, cedera di dahi.
"Nahas turut menyebabkan bayi berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang di hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kereta yang hilang kawalan lalu memasuki laluan lori tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian