KUALA LUMPUR:Puspakom Sdn Bhd cawangan Cheras ditutup sementara bermula esok hingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19.

Puspakom dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengesanan kontak sedang dijalankan dan semua kakitangan cawangan berkenaan akan menjalani ujian saringan COVID-19 manakala mereka yang berhubung secara langsung dengan kakitangan itu diarahkan menjalani kuarantin 14 hari.

Penutupan cawangan itu bagi membolehkan proses sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh dijalankan.

"Bagi pelanggan yang mempunyai janji temu di Puspakom Cheras, semua bayaran janji temu pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik," menurut Puspakom.

Puspakom memaklumkan pelanggan yang telah membuat janji temu di Cheras boleh menjalani pemeriksaan secara walk-in dengan pembayaran tunai di cawangan alternatif iaitu Puspakom Pandan Mewah, Batu Caves, Bangi dan Glenmarie bagi kenderaan persendirian.

Bagi kategori kenderaan perdagangan ringan dan e-hailing pula, boleh menjalani pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju, Padang Jawa, Taman Bukit Maluri dan Petaling Jaya.

Pelanggan perlu membawa slip pengesahan janji temu Puspakom Cheras semasa hadir di cawangan alternatif.

-- BERNAMA