SHAH ALAM: Puspakom Sdn Bhd memperkenalkan program Wakil Pelanggan Yang Diluluskan oleh Puspakom (PAR) bagi mengatasi masalah manipulasi caj perkhidmatan yang dikenakan oleh segolongan orang tengah atau runner.

Puspakom dalam kenyataan memaklumkan lazimnya ramai pelanggan menggunakan khidmat runner atau orang tengah bagi urusan pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan, namun ada segolongan daripada mereka yang memanipulasi, mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan memberi maklumat palsu kepada pelanggan.

"Pelanggan kemudiannya membuat aduan bahawa Puspakom tidak telus, dan ini telah memberi persepsi buruk terhadap imej Puspakom," menurut kenyataan itu hari ini.

Justeru, melalui sistem PAR yang diperkenalkan, Puspakom membuat saringan latar belakang bagi semua runner dengan kerjasama pihak berkuasa dan mereka yang lulus saringan akan didaftar sebagai PAR.

Puspakom menjelaskan semua pelanggan yang ingin menggunakan khidmat orang tengah digalakkan untuk mendapatkan khidmat PAR melalui senarai PAR menerusi laman web www.puspakom.com.my.

Bagaimanapun, Puspakom masih mengalu-alukan orang ramai untuk hadir sendiri ke pusat pemeriksaan dan inisiatif itu tidak berniat untuk menafikan hak pelanggan untuk hadir sendiri ke pusat berkenaan.

-- BERNAMA