Skip to main content

Malaysia

Puspakom rancang beroperasi 24 jam mulai tahun depan

KLANG, 5 Sept - Pelanggan melihat keadaan bawah kenderaan melalui teknologi Kecerdasan Buatan (AI) ketika hadir membuat pemeriksaan kenderaan ke Program "GiCheck Auto Weekend 2026 " PUSPAKOM di Kawasan Letak Kereta Pusat Membeli Belah Aeon Bukit Tinggi, Klang hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Inisiatif itu akan dilaksanakan bergantung kepada hasil sambutan terhadap lanjutan tempoh operasi tujuh hari seminggu bermula November ini termasuk kesediaan tenaga kerja yang mencukupi. - Bernama
Advertisement

KLANG: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bercadang memanjangkan tempoh operasi sedia ada kepada 24 jam bermula tahun depan bagi memberi peluang kepada orang ramai membuat pemeriksaan kenderaan dengan lebih selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata inisiatif itu akan dilaksanakan bergantung kepada hasil sambutan terhadap lanjutan tempoh operasi tujuh hari seminggu bermula November ini termasuk kesediaan tenaga kerja yang mencukupi.

"Kita telah menyantuni Kesatuan Pekerja-Pekerja Perdagangan Kebangsaan (NUCW) dan Kesatuan Sekerja Kakitangan Puspakom untuk mendapatkan reaksi terhadap konsep yang menjadikan waktu kerja lebih munasabah, iaitu lapan ke 10 jam sehari berbanding 12 jam ketika ini diikuti hari rehat selama dua hari seminggu berbanding lazimnya satu hari.

"Bagi operasi 24 jam pula, ia disasarkan untuk dilaksanakan mulai Januari tahun hadapan bergantung kepada sambutan orang ramai terhadap operasi tujuh hari serta kesediaan tenaga kerja dan kapasiti operasi," katanya kepada Bernama selepas melancarkan GiCheck Auto Weekend 2026 di pekarangan sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha (Bahagian Darat) Kementerian Pengangkutan Datuk Mohamed Irwan Mansor dan Ketua Pegawai Operasi Puspakom Dr Ahmad Zahiri Ismail.

Dalam pada itu, Mahmood berkata pihaknya turut mengetengahkan beberapa pembaharuan lain termasuk pelancaran anugerah pengiktirafan wira komuniti dan perluasan perkhidmatan pemeriksaan terus ke lokasi pelanggan.

Katanya, langkah berkenaan merangkumi pengenalan Puspakom Towering Malaysian Awards serta pemerkasaan perkhidmatan pemeriksaan di lokasi pelanggan bagi memudahkan urusan pemilik kenderaan.

"Program anugerah baharu itu diwujudkan khusus untuk menghargai individu yang membawa perubahan positif kepada masyarakat mahupun alam sekitar walaupun sumbangan mereka jarang mendapat perhatian umum.

"Inisiatif pengiktirafan ini sedang dibangunkan bersama rakan strategik serta agensi media terpilih sebelum perincian lanjut diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif pemodenan itu turut didukung penganjuran pelbagai aktiviti interaktif yang membawa mesej keselamatan secara fizikal dan praktikal kepada pelbagai lapisan masyarakat antaranya GiCheck Auto Weekend 2026.

Beliau berkata, langkah itu dijangka mempertingkatkan kecekapan pengoperasian Puspakom secara menyeluruh di samping merapatkan hubungan antara agensi pemeriksaan tersebut dengan komuniti setempat.

GiCheck Auto Weekend 2026 yang julung-julung kali diadakan turut menampilkan pelbagai demonstrasi teknikal, ujian tali pinggang keledar serta pameran teknologi Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) bertemakan Driving Safer Roads Together bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement