KUALA LUMPUR: Putera Monaco Putera Albert II diberikan sambutan negara di Istana Negara hari ini bersempena dengan lawatan empat hari ke Malaysia, yang bermula semalam.

Ketibaan baginda dan delegasinya pada 11 pagi itu, disambut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof disertai menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan, juga turut hadir pada istiadat tersebut.

Istiadat sambutan itu bermula dengan lagu kebangsaan Monaco dan Negaraku dimainkan pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia, diikuti tembakan kehormat 21 das.

Putera Albert kemudiannya melakukan pemeriksaan barisan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sebagai simbolik persahabatan dan perpaduan, Putera Albert dan Sultan Abdullah kemudiannya menanam Pokok Keranji (nama saintifiknya : Dialium indum), di perkarangan istana.

Kedua pemimpin kemudiannya mengadakan pertemuan di Dewan Seri Maharaja, dengan antara lain membincangkan isu termasuk hubungan dua hala antara Malaysia dan Monaco.

Bersempena lawatan negara yang pertama ke Malaysia itu Yang Di-Pertuan Agong turut menganugerahkan darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) dan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang, Darjah Yang Pertama (D.K.) kepada Putera Albert.

Sebagai tanda hormat, Puterta Albert turut menganugerahkan Yang di-Pertuan Agong dengan Grand-Croix de l'Ordre de Saint-Charles, iaitu anugerah tertinggi Monaco.

Al-Sultan Abdullah turut meraikan Putera Albert dan delegasinya pada Majlis Santapan Negara.

Semalam Putera Albert yang turut diiringi menteri, pegawai kanan dan komuniti perniagaan Monaco, telah merasmikan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang pertama di Malaysia dan melawat Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur.

Selain itu, Putera Albert dijadualkan menghadiri Forum Ekonomi Monaco 2023 di sini petang ini.

Sebelum berangkat pulang pada Rabu, baginda turut dijadualkan melawat Pusat Konservasi Harimau Malaya dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, di Pahang.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan Putera Albert akan memberi peluang yang baik kepada Monaco dan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, dengan prospek kerjasama masa depan dalam pelbagai bidang yang disokong pada peringkat tertinggi kepimpinan negara.

-- BERNAMA