KUALA LUMPUR: Putera Monaco Putera Albert II hari ini berkenan melawat Muzium Kesenian Islam Malaysia, sebagai sebahagian daripada program sempena lawatan negara pertama selama empat hari ke Malaysia.

Putera Albert II berangkat tiba di muzium berkenaan pada 5.10 petang dan disambut oleh wakil pihak muzium Rashidah Salim dan turut dihadiri Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Putera Albert II, dengan diringi kurator muzium Zulkifli Ishak meluangkan masa hampir dua jam menyaksikan pelbagai artifek seni, reka bentuk dan budaya dunia Islam yang dipamerkan di muzium itu, yang merupakan muzium kesenian Islam terbesar di Asia Tenggara.

Hadir sama Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Monaco Isabelle Berro-Amadei.

Putera Albert II, tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan negara empat hari ke Malaysia yang dihoskan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Terdahulu, Putera Albert II telah merasmikan Pejabat Konsul Kehormat Monaco yang pertama di Malaysia dan esok baginda dijadualkan menghadap Al-Sultan Abdullah dan diberi sambutan negara di Istana Negara.

Seri Paduka juga akan menganjurkan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Putera Albert II dan delegasi.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan Putera Albert II akan memberi peluang yang baik kepada Monaco dan Malaysia mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, dengan prospek kerjasama dalam pelbagai bidang yang disokong pada peringkat tertinggi kepimpinan negara.

-- BERNAMA