MALAYSIA

Puteri diraja Pahang, Terengganu tamat pengajian di United Kingdom

Astro Awani 12/07/2025 | 01:00 MYT
Tengku Nadhirah Zahrah (kiri) menamatkan pengajian Ijazah Sarjana sementara Tengku Puteri Jihan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang tekstil dari University for the Creative Arts. - Gambar FB Kesultanan Pahang
KUALA LUMPUR: Dua puteri diraja dari negeri Pahang dan Terengganu berjaya menamatkan pengajian dalam bidang tekstil di University for the Creative Arts (UCA), United Kingdom (UK).

Menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang pada Jumaat, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke majlis graduasi di UK bagi meraikan kejayaan puteri baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah.

Hantaran tersebut menyebut, Tengku Puteri Jihan mencatat kejayaan membanggakan dan cemerlang dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang tekstil di universiti berkenaan.

Pada majlis sama, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut berkenan berangkat meraikan kejayaan puteri sulung baginda berdua, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah.

Tengku Nadhirah Zahrah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang tekstil dari universiti yang sama.

Majlis graduasi dua puteri diraja itu turut diserikan dengan keberangkatan keluarga diraja dari kedua-dua negeri yang terletak di Pantai Timur itu.

Antara keluarga diraja Pahang yang berkenan berangkat ke majlis itu ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta adinda-adinda diraja yang lain termasuk Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.

Sementara keluarga diraja dari Terengganu yang turut mengiringi keberangkatan Sultan dan Sultanah ialah Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail; Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua’az, serta adinda kepada Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuzzahra’.

Keluarga diraja Pahang dan Terengganu merakamkan gambar kenangan pada majlis graduasi dua puteri kebanggaan, Tengku Puteri Jihan dan Tengku Nadhirah Zahrah di United Kingdom baru-baru ini. – Gambar Facebook Kesultanan Pahang


Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kesultanan Pahang, Paduka Baginda Sultan dan Tengku Ampuan Pahang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tengku Nadhirah Zahrah atas pencapaiannya di peringkat sarjana, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu inspirasi yang mengangkat martabat seni dan warisan tekstil ke peringkat antarabangsa.







#puteri diraja #Tengku Puteri Jihan #Tengku Nadhirah Zahrah #University for the Creative Arts #puteri Sultan Pahang #puteri Sultan Terengganu