MALAYSIA
Putin pertimbang secara serius kehadiran ke Malaysia - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan tentang kehadiran Vladimir Putin ke Malaysia di Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Ambank Group, di Kuala Lumpur pada Selasa. - Astro AWANI/Ikqwan Lee
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kemungkinan kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang mengesahkan kehadiran ke sidang kemuncak itu, sekali gus membuka platform diplomasi menerusi pertemuan pemimpin kuasa besar dunia.
“Presiden Trump sendiri menghubungi saya dan mengesahkan akan hadir bulan Oktober. Manakala Presiden Putin pula menyatakan secara terus kepada saya di Beijing bahawa beliau serius mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia,” ujarnya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan di Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Ambank Group, di sini pada Selasa.Tambah beliau, kehadiran pemimpin besar dunia ini melambangkan kedudukan Malaysia yang tetap diiktiraf meskipun dunia sedang berdepan pelbagai cabaran.
“Ini adalah masa penuh dugaan. Namun, saya kekal optimis kerana kita memiliki daya tahan.
"Kita perlu memperkukuh ketahanan ekonomi dan juga kekuatan dalam negeri. Tidak ada sebab kita tidak mampu mengatasinya kerana asas kita sudah pun kukuh,” jelasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami