MALAYSIA

QV-E bukti keupayaan anak tempatan hasilkan EV pertama Perodua

Bernama 01/12/2025 | 20:00 MYT
Chok, ketua jurutera projek QV-E membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar mampu bersaing, tetapi mampu memimpin dalam era baharu automotif negara. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Di sebalik peluncuran kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua, Quest for Visionary-Electric (QV-E) pada Isnin, terserlah kisah seorang anak muda Malaysia yang berani berinovasi dan mencipta perubahan dalam landskap automotif negara.


Ringkasan AI
  • Chok Jia Jiunn, 44, ketua jurutera projek QE-V Perodua, membuktikan keupayaan Malaysia untuk berinovasi dalam industri automotif negara.
  • Lebih 100 jurutera dan penyelidik muda tempatan terlibat dalam pembangunan QE-V, menunjukkan kerjasama dalam mencipta produk automotif tempatan yang memenuhi kehendak rakyat Malaysia.
  • QE-V, kenderaan EV pertama Perodua, menekankan pengalaman pemanduan yang selesa, kemudahan penyelenggaraan, serta reka bentuk futuristik untuk pasaran tempatan.


Chok Jia Jiunn, 44, ketua jurutera projek QV-E membuktikan bahawa Malaysia bukan sekadar mampu bersaing, tetapi mampu memimpin dalam era baharu automotif negara.

"Saya sentiasa percaya Malaysia mempunyai bakat dan keupayaan untuk berjaya. Motivasi saya datang daripada keinginan untuk mencipta sesuatu yang bukan sahaja memenuhi standard automotif, tetapi juga mencerminkan inovasi serta kehendak rakyat Malaysia.

"Desinged by Malaysian for Malaysian needs, saya mahu buktikan bahawa anak tempatan boleh menghasilkan sesuatu yang membanggakan untuk negara sendiri." katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kenderaan Elektrik (EV) Pertama Perodua di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini, semalam.

Anak jati Rawang itu berkata beliau tidak bergerak sendirian sebaliknya dibantu lebih 100 jurutera dan penyelidik muda tempatan berusia antara 25 hingga 40 tahun daripada pelbagai jabatan termasuk penyelidikan dalaman dan luaran, elektronik, rekaan dalaman dan penilaian keselamatan.

"Setiap ahli pasukan, dari jurutera hingga penyelidik, bekerja rapat untuk memastikan kelancaran idea, prototaip sehinggalah ke produk akhir menepati kehendak tempatan," katanya.

Menurutnya, QV-E bukan sekadar kenderaan EV pertama Perodua, sebaliknya simbol kemampuan, kreativiti dan dedikasi tenaga kerja tempatan.

"Kami harap rakyat Malaysia berasa bangga kerana produk ini adalah hasil ciptaan anak tempatan untuk negara sendiri. Ini adalah bukti bahawa apabila diberi peluang dan kepercayaan, pasukan tempatan boleh menghasilkan sesuatu yang luar biasa," katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad yang telah melantik beliau untuk mengetuai pembangunan EV tersebut.

Beliau berkata pembangunan QE-V dimulakan pada September 2023 dan mengambil masa dua tahun dengan tumpuan awal terhadap penyelidikan mendalam mengenai keperluan pengguna tempatan.

Hasil kajian yang dijalankan mendapati rakyat Malaysia cenderung memilih kenderaan dinamik dengan ruang dalaman luas, kemasan eksklusif dan pengalaman pemanduan yang selesa.

Selain memberi penekanan kepada pengalaman pemanduan, Chok berkata aspek kemudahan penyelenggaraan turut menjadi keutamaan dalam pembangunan QV-E serta menitikberatkan kemudahan penyelenggaraan.

"Tujuan kami adalah untuk memastikan pengguna baharu EV berasa seperti memandu kereta biasa, walaupun ia berasaskan elektrik. Setiap sudut direka untuk pengalaman pemanduan yang lancar dan selesa.

"Kami meletakkan bateri supaya mudah ditukar dalam masa 30 minit sekiranya berlaku sebarang isu di bawah waranti. Ini adalah langkah penting untuk pengalaman pemilikan EV yang lancar," katanya.

QV-E turut dilengkapi sistem digital pintar yang membolehkan pemandu menukar mod pemanduan daripada normal kepada 'sport' dengan mudah, di samping reka bentuk futuristik yang menambah nilai estetika dan fungsi.

Chok berkata QV-E bakal berada di pasaran tidak lama lagi setelah dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di MITI, semalam sekali gus menandakan era baharu Perodua dalam pengeluaran kenderaan elektrik berasaskan teknologi dan sentuhan tempatan.

-- BERNAMA





#Perodua #QV-E #EV pertama Perodua #Chok Jia Jiunn #jurutera projek