Pasukan pengecaman Mangsa Bencana Jabatan Polis Republik Indonesia (DVI POLRI) mengesahkan bahawa dua lagi mayat mangsa nahas AirAsia Indonesia QZ8501 telah dikenal pasti identiti mereka.

Mereka ialah Hendra Gunawan Syawal (lelaki) dan The Meiji Thejakusuma (perempuan).

Mayat mereka diserahkan awal hari ini di Hospital Bhayangkara, Surabaya oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia Sunu Widyatmoko.

AirAsia Indonesia dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini, pasukan DVI POLRI telah mengenal pasti identiti enam mayat mangsa QZ8501.

Sejumlah 30 mayat penumpang QZ8501 telah ditemukan setakat ini dengan 24 daripada mereka masih dalam proses pengecaman.

Sementara itu, kenyataan itu menyebut operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh Badan Mencari dan Menyelamat Nasional Republik Indonesia (BASARNAS) masih dijalankan dengan pasukan SAR dari Rusia menyertai misi itu.

"Cuaca di kawasan pencarian esok (Ahad) diramal bertambah baik dengan ombak mungkin berkurangan dan kekal pada dua hingga tiga meter," kata kenyataan itu.

Pegawai-pegawai juga telah mengumumkan bahawa peralatan sonar mengesan dua objek besar di dasar laut yang kemungkinan ialah bangkai pesawat penerbangan QZ8501.

AirAsia meminta mereka yang mahu mengetahui perkembangan dalam misi pencarian dan pemindahan mangsa QZ8501 supaya mendapatkan maklumat rasmi daripada Badan Mencari dan Menyelamat Nasional.

"Doa dan harapan kami sentiasa bersama keluarga dan sahabat penumpang kami dan rakan-rakan yang berada di dalam pesawat QZ8501," kata kenyataan itu.

Pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501, terputus hubungan radar pada 28 Dis ketika dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia, bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal.

Pesawat malang itu terhempas di perairan dekat Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah di Indonesia.