Sebanyak 38 kes gigitan baharu haiwan dilaporkan di Sarawak pada hari ini menjadikan kes kumulatif gigitan haiwan sejak 1 April 2017 meningkat kepada 13,511 kes.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin yang memetik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak berkata, sebanyak 21 kes merupakan gigitan anjing, dengan 15 kes melibatkan anjing peliharaan dan enam kes melibatkan anjing liar.

“Sebanyak 16 kes lagi adalah gigitan kucing, termasuk 13 kes kucing peliharaan serta satu kes gigitan tupai liar," katanya kepada Astro AWANI di sini.

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 4,839 orang atau 35.9 peratus mangsa gigitan telah menerima suntikan vaksin anti-rabies.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) kata Ismail, akan mengadakan kempen vaksinasi haiwan tersayang di tiga kawasan secara serentak pada esok.

Suntikan percuma akan diadakan di Metrocity di Matang, Kuching; Pejabat Veterinar Bahagian Betong di Betong dan Dewan Batu Niah, Miri.

“Ia merupakan kempen berterusan pihak kita dalam mengekang penularan wabak maut ini.

“Setakat hari ini, kita telah berjaya menganjurkan 1,909 kempen di seluruh negeri, selain menamakan 36 kawasan sebagai lokasi wabak rabies," katanya.

Setakat hari ini katanya, sejumlah 77,381 haiwan telah diberikan vaksin di seluruh negeri, termasuk 69,162 anjing; 8,165 kucing dan 54 haiwan lain, seperti kelawar, kera dan tupai.

“Pada masa yang sama, kita turut mengesan 187 anjing dan 14 kucing yang positif rabies dan telah dihapuskan," katanya.