Rabies Serian ada jujukan genom strain virus Kalimantan dan Sulawesi

Bernama
Julai 18, 2017 07:06 MYT
Kes jangkitan rabies atau anjing gila di Serian mempunyai persamaan jujukan genom strain virus yang berasal dari Kalimantan dan Sulawesi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Kes jangkitan rabies atau anjing gila di Serian mempunyai persamaan jujukan genom strain virus yang berasal dari Kalimantan dan Sulawesi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata keputusan itu diperoleh daripada Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) yang turut menunjukkan kaitan epidemiologi yang rapat antara kes jangkitan rabies di Serian dan kes di Kalimantan.
"Unit Virologi di IMR telah menjalankan penjujukan DNA virus rabies yang diasingkan daripada kes rabies di Serian.
"Hasil menunjukkan bahawa virus tersebut mempunyai persamaan jujukan genom paling tinggi dengan jujukan genom strain virus rabies yang berasal dari Kalimantan dan Sulawesi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Pejabat Kesihatan Serian dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah melaksanakan Pengesanan Kes Aktif bagi mengesan kes gigitan anjing di kawasan kejadian wabak rabies di Serian.
Aktiviti itu dilaksanakan di 136 petempatan melibatkan 9,830 rumah dengan 37,285 orang ditemu duga berhubung sejarah gigitan anjing, kata Dr Noor Hisham.
"Sebanyak 368 kes gigitan haiwan telah dikesan di kawasan wabak daerah Serian dan telah diberikan rawatan.
"Aktiviti pendidikan kesihatan berkaitan rabies juga telah diberi kepada penduduk di kawasan berkenaan," katanya.
--BERNAMA
#Datuk Dr Noor Hisham Abdullah #Kalimantan #rabies #Sulawesi