Rabies: Vaksin percuma di tiga lokasi di Miri

Bernama
Oktober 5, 2018 09:34 MYT
Pemilik anjing dan kucing boleh mendapatkan vaksin percuma bagi mencegah penyakit itu di tiga lokasi terpilih dari 9 pagi hingga 4.30 petang pada Sabtu dan Ahad ini. -Gambar fail/Bernama
Kempen pemberian vaksin percuma bagi mencegah penyakit anjing gila atau rabies di bandar raya ini akan diadakan selama dua hari bermula esok.
Jabatan Penerangan dalam kenyataannya di sini hari ini berkata pemilik anjing boleh mendapatkan vaksin percuma bagi mencegah penyakit itu di tiga lokasi terpilih dari 9 pagi hingga 4.30 petang pada Sabtu dan Ahad ini.
"Tiga lokasi itu ialah gelanggang bola keranjang Lutong Shell, Taman Awam Miri, Bumiko dan Taman Bulatan Miri, Piasau Jaya," katanya.
Menurut jabatan itu, pemilik anjing dan kucing juga boleh mendapatkan vaksin bagi haiwan peliharaan masing-masing secara percuma di Jabatan Veterinar di Pusat Perdagangan Pelita yang terletak bersebelahan dengan Bank Rakyat di sini dari Isnin hingga Jumaat mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi jabatan berkenaan melalui talian 085- 411866.
Jabatan Penerangan berkata sebagai sebahagian daripada strategi bagi mengawal penularan penyakit anjing gila di bandar raya ini, sebuah jawatankuasa telah dibentuk dengan diterajui Pejabat Residen Miri dan dianggotai pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
-- BERNAMA
#anjing gila #Jabatan Penerangan #Kempen pemberian vaksin percuma #penularan penyakit #rabies #vaksin