MALAYSIA

RAC, MARIC meterai MoU perkukuh ekosistem industri rel tempatan

Madiha Abdullah 11/11/2025 | 10:50 MYT
Kerjasama ini dijangka akan memperkukuh pembangunan ekosistem industri rel tempatan melalui kolaborasi strategik. - Foto Bernama
SEPANG: Perbadanan Aset Keretapi (RAC) pada Selasa memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC).


Ringkasan AI
  • RAC dan MARIC menandatangani MoU untuk memperkukuh pembangunan ekosistem industri rel tempatan.
  • Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan modal insan dan pembangunan sistem rel dalam negara.
  • MoU ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasakan industri rel tempatan serta menggalakkan eksport ke negara ASEAN.


Kerjasama ini dijangka akan memperkukuh pembangunan ekosistem industri rel tempatan melalui kolaborasi strategik dalam bidang penyelidikan, pembangunan sistem rel serta peningkatan keupayaan modal insan.

Majlis pemeteraian itu disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah RAC, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.

"Polisi kami menggalakkan lebih 40 peratus hasil buatan tempatan seperti cermin, kerusi, pendingin hawa, semua boleh dilakukan dalam negara. Bagi industri rel, kita ada SMHRAIL yang membuat lokomotif untuk eksport.

"Dengan adanya persefahaman ini, kita dapat memperkasa industri rel tempatan supaya boleh digunakan bukan saja dalam negara tapi luar negara," kata Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad.

"Kerjasama ini membolehkan kita mempertingkat kompetensi syarikat tempatan. Malah mungkin kita ada peluang keluar dari Malaysia dan ke negara ASEAN lain, kita boleh buka bisnes di sana dan beri peluang lebih kepada syarikat tempatan," kata Presiden MARIC, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman.

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa pemain industri rel tempatan selaras aspirasi negara untuk membangunkan sektor rel yang berdaya saing, mampan dan berorientasikan teknologi tinggi.

Pemeteraian MoU ini adalah sebahagian daripada Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2025 yang berlangsung dari 11 hingga 13 November, anjuran Kementerian Pengangkutan.

Melalui MoU ini, RAC dan MARIC akan bekerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk pembangunan sistem rel dan modal insan, dengan kedua-dua pihak meneroka peluang latihan teknikal, operasi dan pengurusan aset.

Kerjasama juga merangkumi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi rel baharu bagi meningkatkan daya saing industri tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada kepakaran luar negara.








#ASEAN #RAC #MoU #MARIC