Radiasi menara komunikasi di kawasan kediaman tidak jejas kesihatan - MCMC N. Sembilan

Bernama
Ogos 5, 2021 11:42 MYT
Pengarah MCMC Negeri Sembilan Mohd Khairulnaim Osman (tiga, kiri) diberi taklimat ringkas mengenai ujian tahap bacaan radiasi ketika ujian berkenaan dijalankan di beberapa kawasan kediaman di Rasah Kemayan, Seremban hari ini. - BERNAMA
SEREMBAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Negeri Sembilan menjelaskan keberadaan infrastruktur komunikasi berhampiran beberapa kawasan kediaman tidak akan memudaratkan kesihatan orang awam.
Pengarah MCMC negeri Mohd Khairilnaim Osman berkata infrastruktur itu juga mempunyai tahap pematuhan yang seiring dengan standard antarabangsa.
Beliau berkata Agensi Nuklear Negara juga telah menjalankan ujian radiasi terhadap sebuah menara di kawasan Rasah Kemayan, Seremban dan beberapa lokasi yang berada di bawah liputan infrastruktur komunikasi tersebut.
"Melalui ujian yang dijalankan, bacaan radiasi yang terhasil daripada infrastruktur komunikasi ini adalah berada pada tahap selamat untuk digunakan. Frekuensi radio oleh stesen pemancar telekomunikasi adalah amat kecil daripada had pendedahan yang dibenarkan kepada orang awam.
"Radiasi pancaran telekomunikasi merupakan radiasi tidak mengion disebabkan ia kekurangan tenaga untuk membebaskan elektron atau melaksanakan perubahan dalam struktur atom. Justeru dakwaan memudaratkan kesihatan adalah tidak berasas," katanya kepada Bernama.
Beliau menyarankan orang awam agar merujuk kepada sumber yang sahih atau pakar bertauliah yang diiktiraf kerajaan bagi mengelak salah faham dalam isu radiasi ini.
Mohd Khairilnaim berkata kerajaan Negeri Sembilan juga telah meluluskan penggunaan Garis Panduan Bantahan Terhadap Infrastruktur Komunikasi.
Katanya garis panduan itu digunakan sebagai rujukan dan amalan baik kepada industri dalam merancang, membina dan mengawal selia kendiri pematuhan dalam infrastruktur komunikasi di negeri ini, serta turut mengambil kira hak penduduk untuk menjalani kehidupan dalam persekitaran yang selamat.
Semalam, pihaknya memberikan penjelasan mengenai isu tersebut kepada Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan, yang menerima aduan daripada penduduk di sekitar Seremban yang bimbang dengan perkara itu.
-- BERNAMA
#MCMC #menara komunikasi #radiasi #kesihatan #Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia #Mohd Khairilnaim Osman #Negeri Sembilan