MALAYSIA

Radio 4G MOCN 6-arah di Tanjung Asam, Pulau Pinang beroperasi sepenuhnya

Astro Awani 01/07/2025 | 14:45 MYT
Fahmi (tiga dari kiri, depan) ketika melawat tapak radio 4G Multi-Operator Core Network (MOCN) 6-arah beroperasi sepenuhnya di Tanjung Asam, Pulau Pinang. - Foto Kementerian Komunikasi
PULAU PINANG: YTL Communications (YTLC) memaklumkan radio 4G Multi-Operator Core Network (MOCN) 6-arah beroperasi sepenuhnya di Tanjung Asam, Pulau Pinang.

Projek bersejarah ini diterajui YTLC di bawah inisiatif kerajaan “Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet” adalah perkongsian rangkaian aktif antara pengendali rangkaian mudah alih bagi memperluas liputan secara kos efektif demi manfaat rakyat.

Dalam kenyataan pada Selasa YTLC berkata, projek itu juga memperlihatkan kemajuan teknologi industri telekomunikasi Malaysia dengan menggunakan seni bina rangkaian radio canggih yang membolehkan satu syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan rangkaian radio dan perkongsian spektrum untuk kesemua lima pengendali rangkaian mudah alih utama: Yes, CelcomDigi, Maxis, TM, dan U Mobile.

"Liputan tanpa gangguan di sepanjang koridor pesisir Tanjung Asam dan komuniti sekitarnya memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk dan 350 pengguna jalan raya harian, termasuk perkampungan nelayan berdekatan dan komuniti yang kurang mendapat liputan, sekaligus merangsang pembangunan ekonomi tempatan," katanya.

Selain itu YTLC juga menerima lawatan rasmi Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ke tapak tersebut pada Selasa.

Projek ini juga mendapat kerjasama dengan Konsortium Jaringan Selangor (KJS) sebagai penyedia infrastruktur.

Tambah kenyataan itu lagi, walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar seperti cuaca ekstrem, kawasan berbatu, dan binaan berhampiran pantai, KJS berjaya memperoleh semua kelulusan yang diperlukan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan menyiapkan pembinaan menara dalam tempoh hanya sebulan.

Pembinaan di tepi laut menghadirkan cabaran kejuruteraan tersendiri, termasuk tanah berpasir yang tidak stabil dan risiko kakisan akibat udara masin.

Melalui kepakaran kejuruteraan KJS dan penyelarasan yang cekap, tapak ini disiapkan tepat pada waktunya, membolehkan YTL Communications melaksanakan teknologi MOCN 6-arah dengan pantas, dibekalkan oleh ZTE.

“Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet” disokong oleh Rangka Kerja Perkongsian Infrastruktur Rangkaian (NISF), dan menghimpunkan semua pengendali rangkaian mudah alih dalam usaha menambah baik liputan internet mudah alih," katanya.


#telekomunikasi #rangkaian Internet #internet 4G #Internet