MALAYSIA

Rafidah, tiga lagi individu dibebas dengan jaminan polis

Bernama 01/12/2025 | 12:45 MYT
Fadil berkata kesemua individu berkenaan sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah berkaitan dengan isu ketenteraman dan keselamatan awam. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk aktivis Rafidah Ibrahim yang ditahan kerana dipercayai cuba mencetuskan kekecohan semasa Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru telah dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kesemua individu berkenaan sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah berkaitan dengan isu ketenteraman dan keselamatan awam.

"Siasatan terhadap keempat-empat individu berkenaan masing sedang dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan 'Masih Ada Yang Sayang' oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada 70 anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau menegaskan pihak polis sentiasa mengutamakan keselamatan dan ketenteraan awam dalam apa sahaja program yang dilaksanakan di negara ini.

"Sekiranya ada risikan atau ada apa-apa maklumat yang kami (polis) terima, (tentang sesuatu) akan memberikan kesan negatif terhadap ketenteraman dan keselamatan awam, polis akan ambil tindakan," katanya.

Pagi semalam, polis menahan empat individu termasuk dua wanita berumur antara 39 hingga 47 tahun, dipercayai cuba mencetuskan kekecohan semasa Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru.

Sementara itu, mengulas mengenai kes serangan terhadap wartawan sukan Haresh Deol, Fadil berkata pihaknya sedang mengesan seorang lagi individu terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Walaupun suspek telah dituduh siasatan masih lagi diteruskan kerana dia dituduh di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan secara bersama," katanya.

Fadil bagaimanapun enggan mengulas sama ada suspek lain telah dikenal pasti.

Pada 25 Nov lepas Haresh, yang juga pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 menerusi hantaran di laman X memaklumkan beliau telah diserang oleh dua lelaki ketika menuju ke keretanya, manakala seorang lagi merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Siapakah individu yang telah dibebaskan dengan jaminan polis berkenaan isu Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru?
    A: Aktivis Rafidah Ibrahim dan tiga individu lain.
  • Q: Apakah alasan penahanan mereka sebelum ini mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah?
    A: Berkaitan dengan isu ketenteraman dan keselamatan awam semasa Majlis Pecah Tanah.
  • Q: Apa tindakan yang diambil oleh Ketua Polis Kuala Lumpur berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraman awam?
    A: Polis mengutamakan keselamatan dan ketenteraman awam dalam setiap program serta akan ambil tindakan sekiranya risikan atau maklumat negatif diterima.
  • Q: Berapakah jumlah individu yang ditahan termasuk dua wanita dalam isu Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru?
    A: Empat individu, termasuk dua wanita berumur antara 39 hingga 47 tahun.
  • Q: Apakah perkembangan terkini kes serangan terhadap wartawan sukan Haresh Deol?
    A: Polis sedang mengesan seorang lagi individu yang terlibat dalam kejadian serangan tersebut.



#isu ketenteraman #keselamatan awam #wartawan sukan #Kanun Keseksaan