Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sedia untuk bersemuka dan berdebat dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dalam satu forum untuk belajar apakah sebab-sebab kenapa Barisan Nasional bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata menerusi debat dalam satu forum, Nazri boleh mempamerkan kepintarannya dan rakyat akan menghakimi pandangan yang dikeluarkan.

"Mengambil kira kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Seri Nazri Aziz semalam, saya sudi untuk berdebat atau bersemuka dengan beliau di dalam satu forum untuk belajar dari beliau apakah sebab-sebab kenapa Barisan Nasional bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak.

"Saya pasti beliau boleh mempamerkan kepintaran beliau kelak dengan tampil bersemuka dengan saya dan biarlah rakyat menghakimi betapa pintarnya beliau," katanya dalam satu kenyatan media.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Nazri semalam.

Beberapa portal berita pada Selasa melaporkan Nazri sebagai berkata cadangan Rafizi agar menteri mengeluarkan belanja petrol untuk kenderaan rasmi mereka sebagai satu cadangan bodoh.

Mengulas perkara lain, Rafizi berkata cadangan Nazri agar menteri besar dan ketua menteri Pakatan Rakyat melaksanakan dahulu cadangan mengeluarkan duit sendiri untuk belanja petrol kenderaan rasmi "tidak relevan".

"Persoalan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dahulu di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidaklah relevan kerana rakyat membayar cukai kepada kerajaan persekutuan, bukannya kerajaan negeri.

"Pun begitu, saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri-menteri besar Pakatan Rakyat agar mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat dalam mereka menjalankan tugas mereka," kata Rafizi.