MALAYSIA

Rafizi dakwa hilang kepercayaan Anwar jadi punca utama letak jawatan

Astro Awani 21/06/2025 | 00:50 MYT
Rafizi mendakwa, keputusan meletak jawatan daripada Kabinet dibuat selepas merasakan beliau tidak lagi mendapat kepercayaan penuh daripada Perdana Menteri Anwar. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, keputusan meletak jawatan daripada Kabinet dibuat selepas merasakan beliau tidak lagi mendapat kepercayaan penuh daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, situasi berkenaan jelas kelihatan apabila pencalonan Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan PKR baru-baru ini didakwa mendapat restu penuh Presiden PKR, yang juga Perdana Menteri.
“Apabila Nurul Izzah bertanding, ia mendapat restu Presiden dan Perdana Menteri. Itu petanda jelas bahawa kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Ekonomi sudah hilang.
“Kalau saya terus berada dalam Kabinet, saya hanya akan jadi ‘lame duck minister’ – menteri yang tidak lagi memiliki keyakinan Perdana Menteri. Malah, kementerian saya akan turut terkesan,” katanya menerusi siaran langsung audio siar Yang Berhenti Menteri di Facebook pada Jumaat.
Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya pada 27 Mei lalu dan ia berkuat kuasa pada hari Selasa minggu berkenaan.
Menjawab spekulasi kononnya beliau ‘merajuk’, Rafizi menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai cubaan menjatuhkan integriti peribadinya.
“Kalau merajuk, biasanya berlaku apabila seseorang tak dapat apa yang dimahukan. Tapi saya ini sudah pun menjadi menteri. Saya letak jawatan bukan sebab kecewa, tapi kerana merasakan prinsip perlu diutamakan.
“Keputusan letak jawatan mesti berasaskan isu besar. Kita perlukan pemimpin yang berprinsip dan bebas menyuarakan pandangan,” ujarnya lagi.
Tambah Rafizi, kuasa bukan ukuran utama dalam kelangsungan politik seseorang pemimpin, sebaliknya penerimaan rakyat dan usaha membela nasib masyarakat jauh lebih penting.
#Rafizi Ramli #Rafizi letak jawatan #Rafizi kalah Pemilihan PKR #Nurul Izzah Anwar #Timbalan Presiden PKR