Rafizi dakwa Najib di sebalik penyelewengan skandal LCS

Firdaus Azil
Ogos 8, 2022 07:25 MYT
Rafizi mendakwa Najib mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran rekabentuk LCS, serta kontraktor di sebalik penyiapan Kapal Tempur Pesisir itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Satu-satunya pimpinan politik yang berkuasa untuk untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk Kapal Tempur Pesisir (LCS), serta mempunyai sejarah hubungan dengan sub-kontraktor DCNS, ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dakwa Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Dalam satu kenyataan hari ini, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Najib lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan pada ketika itu (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.
Kedua, kata Rafizi lagi, Najib mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS, dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales, untuk projek-projek besar negara.
“Selain dari projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal anugerah projek LRT kepada George Kent (sebuah syarikat pembuat paip yang tidak ada pengalaman membina LRT).
“Saya telah mendedahkan skandal ini dalam tahun 2012 dan boleh dibaca di sini: https://rafiziramli.com/category/skandal-lrt-george-kent/. Saya menunggu bagaimana Najib Razak akan menjawab persoalan-persoalan ini,” katanya lagi.
Terdahulu dalam kenyataan tersebut, Rafizi berkata, kontraktor utama projek LCS, iaitu Boustead Naval Shipyard (BSN) telah mendapat dokumen sebutharga dari DCNS, sebelum surat lantikan (LOA) Kerajaan Malaysia.
Beliau berkata, terdapat dua punca utama terhadap kelewatan penyiapan kapal LCS, iaitu penukaran reka bentuk dari kelas Sigma, seperti yang diminta pihak TLDM, kepada kelas Gowind seperti diputuskan Menteri Pertahanan ketika itu.
Keduanya, Rafizi berkata, pelantikan kontrak dan perincian kontrak berat sebelah yang merugikan negara dan TLDM sebagai pengguna akhir (end-user).
“Prosiding PAC menunjukkan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Ahmad Hamidi, Presiden UMNO sekarang) pada mulanya bersetuju (pada 26 Mei 2011) dengan pilihan TLDM untuk menggunakan reka bentuk Sigma.
“Akan tetapi, dua bulan kemudian iaitu pada 11 Julai 2011, Menteri Pertahanan menukar keputusan itu dan bersetuju dengan cadangan BNS (kontraktor utama kapal perang LCS) untuk menggunakan reka bentuk Sigma,” katanya lagi.
Rafizi berkata, TLDM memilih Sigma demi keperluan dan kehendak pertahanan negara kerana kelas Sigma dinilai sebagai lebih baik dan lebih moden berbanding kelas Gowind.
Namun, katanya lagi, apabila Ahmad Zahid menukar reka bentuk kepada kelas Gowind, ini bermakna keupayaan pertahanan laut tidak akan menepati kehendak dan perancangan TLDM.
“Lebih penting lagi, reka bentuk Sigma dan Gowind melibatkan sub-kontraktor yang berbeza. Reka bentuk Sigma, jika dipilih, melibatkan kepakaran pembinaan kapal dari Belanda berbanding reka bentuk Gowind yang melibatkan kepakaran dari Perancis.
“Dari sinilah kita dapat menyelami punca sebenar berlakunya skandal ini. Ada pihak berkepentingan yang mahukan sub-kontraktor dari Perancis dipilih untuk membekalkan reka bentuk dan membina kapal LCS ini, walaupun keputusan TLDM adalah untuk kapal kelas Sigma,” katanya lagi.
Berdasarkan rekod, Rafizi berkata, BNS akhirnya memilih DCNS sebagai sub-kontraktor, iaitu kontraktor yang terlibat dalam pembinaan dan pembekalan kapal selam Scorpene.
Lebih menghairankan, kata Rafizi, terdapat dua sebutharga dan satu surat niat dari DCNS kepada BNS, iaitu antara Disember 2010 hingga 21 Oktober 2011, yang tarikhnya lebih awal berbanding surat tawaran Kerajaan Malaysia kepada BNS, iaitu 16 November 2021.
“Ini bermakna DCNS bukan sahaja telah mendapat maklumat sepenuhnya mengenai rundingan pembinaan kapal perang ini, malah DCNS telah pun menghantar sebutharga dan diberikan Surat Niat sebelum pun BNS dilantik menjadi kontraktor utama,” dakwanya lagi.
Rafizi berkata, beliau yakin rakyat Malaysia bersetujunya bahawa pegawai-pegawai di BHIC/BNS adalah “ikan bilis” yang tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan strategik pertahanan negara dengan menukar reka bentuk kapal perang dari yang diputuskan oleh TLDM kepada yang ditolak TLDM.
“Melihatkan kepada keputusan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Zahid Hamidi) yang menukar keputusannya dari memilih Sigma kepada Gowind (yang dibekalkan DCNS) juga membayangkan ada campur tangan pihak yang lebih atas dari Menteri Pertahanan sendiri.
“Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini,” tegasnya lagi.
#Rafizi Ramli #Kapal Tempur Pesisir Pantai #Najib Tun Razak #skandal LCS