[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Rafizi dedah diugut video lucah palsu, tuntut RM470,000

Astro Awani 13/09/2025 | 11:25 MYT
Rafizi berkata beliau menerima emel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah melibatkan dirinya bersama seorang lelaki. -Facebook
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini mendedahkan beliau menjadi sasaran cubaan pemerasan melalui video lucah palsu yang dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), dengan tuntutan bayaran mencecah RM470,000.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Rafizi Ramli dedah cubaan pemerasan melalui video lucah palsu berasaskan AI dengan tuntutan bayaran RM470,000.
  • Video tersebut dipercayai suntingan lama dan dikaitkan dengan cubaan godam peranti menggunakan spyware seperti Pegasus.
  • Ahli Parlimen Subang Wong Chen turut terima ugutan serupa, dan laporan polis telah dibuat bagi menyiasat insiden tersebut.


Dalam satu hantaran di Facebook, Rafizi berkata beliau menerima emel daripada individu tidak dikenali yang mendakwa memiliki video lucah melibatkan dirinya bersama seorang lelaki.

Emel tersebut turut disertakan dengan tangkap layar kabur serta kod QR untuk pemindahan wang berjumlah AS$100,000.


“Video lucah datang lagi! Kali ini siap dengan tuntutan dan cubaan godam peranti saya. Saya percaya ini bukan sekadar fitnah, tetapi strategi untuk akses data peribadi dan cipta naratif lebih besar,” katanya.

Lebih mengejutkan, Rafizi turut mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, menerima ugutan serupa melibatkan lelaki yang sama dalam video tersebut.

Kedua-dua mereka berkongsi tangkap layar dan mendapati tuduhan itu berasaskan bahan yang sama. Pejabat Wong Chen dilaporkan telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Rafizi menjelaskan bahawa beliau tidak percaya ada pihak sanggup membelanjakan jutaan ringgit untuk menghasilkan video AI, sebaliknya yakin ia hanyalah suntingan dari video lama yang ditampal wajahnya sebelum diambil tangkap layar.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap cubaan menggodam peranti elektronik miliknya, termasuk telefon dan komputer riba, yang dipercayai dilakukan oleh firma antarabangsa menggunakan perisian pengintipan upahan (mercenary spyware).

Menurut Rafizi, beliau telah menerima empat amaran keselamatan daripada Apple sejak November 2024, yang menyatakan peranti beliau menjadi sasaran serangan siber sofistikated seperti Pegasus - perisian kontroversi yang dibangunkan oleh firma perang siber Israel, NSO Group.

“Apple menyatakan serangan ini berkait rapat dengan siapa saya dan tindakan saya sebagai ahli politik. Ini bukan cubaan biasa,” katanya.

Beliau turut mengaitkan insiden ini dengan hikmah hukum Islam yang menetapkan empat saksi adil bagi mensabitkan kesalahan zina, kerana bukti video kini boleh dimanipulasi sepenuhnya melalui teknologi AI.

Rafizi menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan video atau gambar yang mencurigakan, dan supaya menyemak kesahihan sebelum menyebarkan sebarang maklumat.







#Rafizi Ramli #cubaan pemerasan #video lucah palsu #tuntutan bayaran RM470000