PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti dua individu untuk dicadangkan bagi pertuduhan berhubung siasatan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor dari United Kingdom, Arm Holdings Inc.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun, enggan mendedahkan sama ada individu berkenaan adalah bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas pembantunya, James Chai.
“Kita akan cadangan terhadap dua individu untuk didakwa, (bagaimanapun) keputusan muktamad tetap bergantung kepada pihak pendakwaan selepas meneliti keseluruhan bukti dan keterangan.
“Jika bukti memenuhi elemen kesalahan, maka pertuduhan akan dibuat. Jika tidak, keputusan akan diumumkan seperti biasa.
“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung identiti individu yang terlibat sehingga keputusan rasmi dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung karya seni bernilai tinggi berhubung pemulihan aset 1MDB di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Azam memberitahu, setakat ini 22 individu sudah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Pandan itu yang akan sambung percakapan pada petang Rabu.
Menurutnya, SPRM dijangka memanggil dua lagi saksi bagi melengkapkan siasatan, masing-masing seorang di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.
Kes membabitkan urus niaga dengan Arm Holdings itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pada 12 Februari, Rafizi menepis laporan SPRM yang dibuat terhadapnya berkaitan perjanjian kerajaan dengan Arm Holdings.