Program 'Raikan Aidiladha bersama Rakan Jalanan' yang diadakan pada malam tadi berlangsung dengan meriah.

Ia merupakan usaha sama badan bukan kerajaan Unggas Kuala Lumpur dan Masjid Jamek Kuala Lumpur bagi meraikan golongan gelandangan bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menurut Ketua Imam Masjid Jamek Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Faisal Tan Mutalib, selain bertujuan untuk meraikan golongan gelandangan, program ini diadakan untuk mengajak golongan gelandangan mendekati rumah Tuhan.

"Melalui program ini, kami berharap mereka akan dapat kebaikan selain daripada makan, berehat dan bertemu dengan rakan-rakan yang lain di sini.

"Kami juga mendoakan mereka diberikan kekuatan, ketabahan untuk meneruskan kehidupan dan diberikan petunjuk untuk mencari jalan terbaik. untuk meneruskan sebagai orang yang hebat,"tambah Ustaz Mohd Faisal ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Isnin.

Beliau berkata tayangan beberapa video mengenai haji turut dilakukan di masjid untuk memberi pendedahan kepada golongan tersebut.


"Tayangan beberapa video yang berkaitan dengan haji ini adalah untuk memberikan pendedahan, dan jalan kepada rakan-rakan jalan kita yang tidak terbayang di fikiran apa itu haji, dan bagaimana orang melakukan haji.

"Tayangan ini lebih kepada perkongsian yang lebih santai," tambahnya.

Bermula pada jam 8.30 malam, program bermula dengan jamuan yang disediakan penganjur, termasuk juadah daripada ibadah korban.

Antara yang istimewa termasuk hidangan yang disediakan termasuk gulai kari kambing.

Ini bukan kali pertama program seumpama ini dilakukan.

Program 'Raikan Aidiladha bersama Rakan Jalanan' dimulakan sejak 2014, bagi tujuan membantu golongan gelandangan, di samping mengimarahkan lagi aktiviti di masjid.