IPOH: Kerajaan negeri Perak bercadang membantu mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Pasir Puteh Nur Asliza Mohd Sapri yang mengharumkan nama Malaysia apabila meraih emas di Kejohanan Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin, Jerman, 12 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata ini kerana kediaman sedia ada tidak sesuai diduduki keluarga itu selain masih menyewa.

"Mereka satu keluarga ada sembilan orang mendiami rumah yang agak kecil dan kita cuba bantu melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) untuk kita sesuaikan mana yang boleh kelak," katanya ketika ditemui selepas Ziarah Cakna ke rumah atlet Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 dekat sini pada Jumaat.

Khairudin juga berharap kejayaan Nur Asliza memenangi emas menerusi acara lontar peluru dalam kejohanan itu menjadi inspirasi kepada pelajar lain terutamanya pelajar berkeperluan khas.

"Kejayaan Nur Asliza atau mesra dipanggil Kak Ngah merupakan satu pengiktirafan yang cukup besar khususnya kepada warga pendidik dan juga negeri Perak serta Malaysia amnya.

"Walaupun beliau ada permasalahan dari segi pembelajaran tetapi beliau menonjolkan prestasi dan pencapaian cukup tinggi khususnya dalam bidang sukan kerana berjaya menyumbang pingat kepada negara, hanya dia daripada empat peserta yang mewakili Malaysia berjaya memperoleh emas," katanya.

Sementara itu, Nur Asliza berkata beliau tidak menyangka akan meraih kejayaan tersebut memandangkan saingan hebat daripada peserta negara lain.

"Saya gembira kerana berjaya mendapatkan pingat emas untuk negara dan kejayaan ini hasil dorongan tidak berbelah bahagi diterima daripada guru dan keluarga saya.

"Saya dedikasi kemenangan ini buat semua guru saya terlibat dalam melatih saya dan tak jemu-jemu untuk pastikan kemenangan saya di Berlin. Buat ibu saya yang sentiasa berikan dorongan dan kata-kata semangat sepanjang saya menjadi atlet," kata anak pemandu lori tunda itu.

-- BERNAMA