KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu beberapa premis syarikat amanah yang menganjurkan skim pelaburan haram dikenali sebagai Kenaf Development Fund (KDF), semalam.

SSM dalam kenyataan memaklumkan operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Cyber Security Malaysia itu dijalankan secara serentak di tiga lokasi iaitu di KL Sentral, Petaling Jaya dan Seberang Perai.

Menurut kenyataan itu serbuan dijalankan susulan aduan daripada pelabur KDF mendakwa pihak syarikat telah gagal membayar pulangan seperti yang dijanjikan.

"Skim pelaburan KDF mula ditawarkan kepada orang awam pada September 2021 hingga Januari 2023 dan telah mengaut hampir RM140 juta daripada 1,919 orang pelabur.

"Modus operandi skim pelaburan KDF ini pelabur dijanjikan dengan pulangan sekitar tiga peratus sebulan dan selepas 12 bulan, pelabur akan menerima semula wang pelaburan mereka dan skim ini dianjurkan bagi membiayai projek penanaman pokok kenaf di Cuping, Perlis," menurut kenyataan itu.

Menurut SSM, siasatan awal mendapati skim pelaburan KDF ini tidak berdaftar di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 serta Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan yang merupakan dalang skim itu merupakan seorang individu bankrap.

"Hasil daripada operasi serbuan tersebut, pihak SSM telah menyita rekod-rekod akaun syarikat, dokumen berkaitan penganjuran KDF dan telefon bimbit milik suspek.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 Akta Syarikat 2016, Seksyen 198 Akta Syarikat 2016, Seksyen 213 Akta Syarikat 2016 dan Seksyen 3 Akta Skim Kepentingan 2016," katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan SSM memandang serius kesalahan membabitkan skim pelaburan yang mengumpul deposit orang awam tanpa kelulusan atau lesen yang sah dan mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati menilai peluang pelaburan menjanjikan pulangan yang tinggi dengan risiko rendah atau tanpa risiko.

"Untuk sebarang pertanyaan, orang diminta menghubungi SSM Customer Care di bahagian aduan dan maklum balas, SSM chatbot, live chat SSM yang boleh diakses melalui portal rasmi SSM, talian telefon 03-7721 4000 atau emel ke [email protected]," katanya.

-- BERNAMA